ARTIKEL

Premier merasmikan Majlis Perasmian Kompleks SWG Green and ‘Decarbon Hub’ di Taman Perindustrian Demak Laut, di sini, hari ini | Foto: Ramidi Subari

Kuching berpotensi jadi hab industri hijau baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak merancang memperluaskan pembangunan Kluster Peralihan Industri (TIC) ke Kuching selepas Bintulu diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebagai antara 30 kluster perindustrian rendah karbon global.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Bintulu merupakan antara 30 kluster perindustrian rendah karbon yang diiktiraf di peringkat global serta yang pertama di Malaysia, sekali gus meletakkan Sarawak di barisan hadapan dalam pembangunan industri hijau.

“Bintulu telah diiktiraf sebagai TIC oleh WEF dan saya berharap pembangunan industri hijau itu bukan sahaja tertumpu di Bintulu, malah dapat diperluaskan ke Kuching kerana Kuching juga perlu mempunyai industri hijau sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks SWG Green and ‘Decarbon Hub’ di Taman Perindustrian Demak Laut, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai kelebihan menerusi pembangunan tenaga rendah karbon termasuk penggunaan turbin gas hibrid yang menggabungkan hidrogen dan metana selain bekalan tenaga boleh diperbaharui yang kukuh.

Premier merasmikan Majlis Perasmian Kompleks SWG Green and ‘Decarbon Hub’ di Taman Perindustrian Demak Laut, di sini, hari ini | Foto: Ramidi Subari

Tambah beliau, bagi memenuhi keperluan industri masa depan, Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan pendidikan tinggi percuma sebagai usaha meningkatkan kemahiran, memperkasa dan melatih semula tenaga kerja tempatan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan Sarawak memiliki modal insan yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan industri rendah karbon dan ekonomi hijau yang sedang berkembang pesat.

Sebelum ini, Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia menyertai Kluster Peralihan Industri (TIC), sekali gus meletakkan Bintulu dalam rangkaian global melibatkan 39 kluster di 20 negara.

Rangkaian itu secara kolektif menjana kira-kira USD808 bilion output ekonomi, menyediakan 6.6 juta pekerjaan serta berpotensi mengurangkan sehingga 870 juta tan pelepasan karbon.

Dalam masa yang sama, Abang Johari berkata Sarawak juga berada dalam kedudukan yang unik untuk menerajui peralihan industri hijau kerana memiliki sumber gas rendah karbon dan tenaga boleh diperbaharui yang banyak.

Katanya, landskap tenaga global kini sedang berubah apabila negara-negara di dunia semakin dikategorikan iaitu sebagai ‘petro-state’ yang berasaskan pengeluaran tenaga atau ‘electro-state’ yang dipacu oleh tenaga elektrik.

Tambah beliau, Sarawak menonjol kerana memiliki ciri-ciri kedua-dua kategori tersebut.

“Mereka menggelar Sarawak sebagai ‘electro-petro state’ kerana kita mempunyai kedua-duanya.

“Kita mempunyai gas dan menghasilkan elektrik melalui gas rendah karbon iaitu metana. Pada masa yang sama, kita juga mempunyai tenaga boleh diperbaharui menerusi hidro,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU