KUALA LUMPUR: Dua kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap amat tidak sihat setakat 8 pagi tadi, dengan Kuching mencatatkan 235 dan Sri Aman 216.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 35 kawasan di lapan negeri dan tiga Wilayah Persekutuan merekodkan IPU pada tahap tidak sihat seperti dilapor Bernama.
Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi dengan 10 kawasan, diikuti Selangor enam, Johor empat, Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing tiga serta Pahang dan Melaka masing-masing dua, manakala Kuala Lumpur merekodkan dua kawasan dan Terengganu, Putrajaya serta Labuan masing-masing satu.
Selain Kuching dan Sri Aman, kawasan terlibat di Sarawak ialah Samalaju (200), Bintulu (199), Mukah (195), Samarahan (195), Sarikei (189), IPD Serian (184), ILP Miri (181), Sibu (181), Miri (176) dan Limbang (162), manakala Selangor melibatkan Johan Setia (179), Shah Alam (165), Banting (156), Petaling Jaya (155), Klang (154) dan Kuala Selangor (153).
Sebanyak 20 kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana dan lapan kawasan berada pada tahap baik, manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan berbahaya.

