KUCHING: Ketua Jurulatih Kuching City FC (KC FC), Aidil Sharin Sahak menegaskan bahawa sokongan padu daripada penyokong menjadi faktor utama kejayaan pasukannya menewaskan Selangor FC 2-1 malam tadi.
Jurulatih dari Singapura itu memberikan kredit penuh kepada lebih 5,000 penyokong yang sanggup berhujan demi memberi sorakan semangat kepada pasukan mereka.
“Saya rasa kehadiran penyokong benar-benar membantu kami hari ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terus bersama pasukan, walaupun ketika keputusan masih 1-1.
“Mereka tidak berhenti menyokong kami, dan itu memberi dorongan besar untuk meraih kemenangan 2-1. Ini adalah langkah besar untuk Kuching City, kelab, dan para penyokong.
“Semoga momentum ini terus berkembang,”katanya dalam sidang media di Stadium Negeri Sarawak pada Ahad.
Aidil turut memuji aksi cemerlang para pemainnya dalam perlawanan tersebut.
“Kemenangan ini bukan sesuatu yang mudah. Kami berdepan pasukan besar seperti Selangor, yang dari segi sejarah dan kedudukan liga, merupakan sebuah pasukan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan barisan pemain berkualiti serta berpengalaman.
“Mereka juga mempunyai jurulatih yang hebat, tetapi kami tetap berjaya mendapatkan keputusan yang baik malam ini, katanya.
Mengulas mengenai perlawanan seterusnya, Aidil mengakui cabaran besar menanti mereka apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), juara bertahan liga.
“Selepas ini, kami akan bertemu JDT, satu lagi pasukan yang sangat kuat. Saya berharap lebih ramai penyokong hadir dan pemain terus memberikan persembahan terbaik agar mereka dapat menikmati bola sepak. Itu yang paling penting,” katanya.
Dalam perlawanan menentang Selangor FC, Aidil menjelaskan bahawa pemainnya beraksi dengan baik terutama pada separuh masa pertama.
“Pemain melaksanakan perancangan dengan baik, tidak dibolosi, dan berjaya menjaringkan satu gol. Kami mendominasi serta mengawal permainan.
“Namun, pada separuh masa kedua, kami sedikit leka dalam 10-15 minit pertama, terutama apabila hujan mula turun dan padang menjadi licin. Selangor mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol, tetapi pemain kami terus berjuang. Semangat dan keazaman mereka tidak pernah luntur.
“Mereka percaya bahawa ini adalah perlawanan yang mereka perlu menangi, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk penyokong dan keluarga mereka. Saya benar-benar menghargai usaha serta komitmen mereka malam ini,* tambahnya.



