ARTIKEL

Keputusan Undian Piala FA 2026/2027.

Kuching City diundi bertemu Kelantan Red Warrior pada pusingan 16

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching City FC membuka laluan pemburuan trofi Piala FA 2026/2027 dengan bertemu pendatang baharu Liga Super, Kelantan Red Warrior FC, pada pusingan 16 terbaik selepas undian kejohanan yang berlangsung hari ini.

The Cats yang muncul naib juara Liga Super musim 2025/2026 mendapat kelebihan untuk tidak bertemu sesama pasukan pilihan pada pusingan awal.

Menurut Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), format undian menetapkan lapan pasukan pilihan akan dipertemukan dengan lapan pasukan bukan pilihan bagi melengkapkan saingan pusingan 16 terbaik.

“Kesemua 16 kelab diundi bagi menentukan laluan masing-masing dalam Piala FA 2026/2027.

“Format undian ini menyaksikan pasukan tidak berstatus pilihan bertemu pasukan pilihan bagi pusingan 16,” menurut MFL hari ini.

Selain Kuching City FC, tujuh pasukan lain yang berstatus pilihan ialah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC dan Penang FC.

Majlis Undian Piala FA 2026/2027.

Dalam undian berkenaan, JDT akan berdepan UM-Damansara United, manakala Selangor FC menentang Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC bertemu Perak FA.

Terengganu FC pula akan berdepan DPMM FC, Star City FC menentang Kedah FA, Negeri Sembilan FC bertemu Kelantan City FC dan Penang FC diundi menentang Melaka FC.
Menariknya, saingan musim ini menyaksikan semua perlawanan bermula pusingan 16, suku akhir hingga separuh akhir dimainkan secara timbal balik, memberikan setiap pasukan peluang beraksi di laman sendiri dan tempat lawan.

Pusingan 16 terbaik dijadual berlangsung pada 1 dan 2 September ini, manakala perlawanan akhir Piala FA 2026/2027 dijadualkan pada 16 Januari 2027.

Bagi Kuching City, pertemuan dengan Kelantan Red Warrior FC menjadi langkah pertama dalam usaha memburu trofi yang masih belum berada dalam koleksi The Cats, sekali gus menguji kemampuan skuad itu untuk meneruskan momentum positif selepas pencapaian membanggakan musim lalu.

Musim lalu, Kuching City turut mencatat perjalanan mengagumkan dalam Piala FA apabila mara hingga ke peringkat separuh akhir.

The Cats terlebih dahulu menyingkirkan DPMM FC pada pusingan 16 dengan kemenangan agregat 9-4 selepas tewas 2-3 di Brunei sebelum bangkit membelasah lawan 7-1 di Kuching.

Pada suku akhir, Kuching City FC meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan Terengganu FC 4-1 dalam aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum melengkapkan kemenangan dengan agregat 5-2.

Cabaran The Cats kemudian terhenti di separuh akhir selepas tewas tipis 1-2 kepada JDT pada aksi pertama di Stadium Negeri, Kuching.

Dalam perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, JDT menang 1-0 untuk mara dengan agregat 3-1.

JDT turut muncul juara Piala FA buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Sabah FC 5-0 pada perlawanan akhir.

Walaupun gagal ke final, perjalanan hingga separuh akhir Piala FA menjadi antara pencapaian penting Kuching City musim lalu dan membuktikan kemampuan mereka bersaing dengan pasukan terbaik negara.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU