KUCHING: Penampilan Kuching City FC di pentas Asia bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya membawa harapan rakyat Sarawak untuk melihat kelab tempatan itu mencipta nama di persada antarabangsa.
Presiden Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, perjalanan kelab itu sejak awal penubuhannya tidak hanya berpaksi kepada kemenangan, sebaliknya turut membawa tanggungjawab untuk menyemarakkan keyakinan dan semangat rakyat Sarawak.
Menurutnya, setiap penampilan Kuching City FC di atas padang membawa makna lebih besar kepada rakyat, khususnya dalam membuktikan pasukan dari Sarawak juga mampu berdiri setanding di pentas lebih tinggi.
“Rakyat Sarawak merupakan satu keluarga besar yang menjadi sumber kekuatan kepada kelab ini untuk terus melangkah lebih jauh. Melalui apa yang kita lakukan di atas padang bola sepak, kita mahu membuktikan kepada rakyat Sarawak kita mampu melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Kuching City FC dengan AFFIN Bank yang dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak berkata, prinsip itu turut menjadi sebahagian daripada budaya Kuching City FC selepas kelab berkenaan melalui tempoh sukar, termasuk berdepan keputusan yang tidak memihak kepada pasukan.
Menurutnya, pemain dan pengurusan sentiasa diingatkan supaya tidak menjadikan keadaan semasa sebagai alasan untuk berhenti berusaha.
Beliau berkata perkara paling penting yang perlu difahami pemain ialah kemenangan dan kejuaraan tidak akan datang dengan mudah, sebaliknya perlu diperjuangkan.
Sementara itu, beliau berkata kehadiran Kumpulan AFFIN sebagai ‘keluarga baharu’ Kuching City FC tepat pada masanya ketika kelab itu bersedia mengembangkan langkah ke peringkat lebih tinggi, termasuk saingan bola sepak di pentas serantau.
Katanya, kerjasama itu bukan sekadar meletakkan nama AFFIN bersama Kuching City FC, sebaliknya melibatkan perkongsian perjalanan, cita-cita dan tanggungjawab terhadap Sarawak.
“Saya percaya banyak yang boleh kita capai bersama, bukan sahaja untuk kelab bola sepak, tetapi juga untuk penyokong, golongan muda dan komuniti kita.
“Kita boleh mewujudkan pengalaman baharu untuk peminat dan membuka lebih banyak laluan kepada bakat tempatan serta generasi akan datang,” katanya.

