KUCHING: Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dijangka turun buat kali pertama malam ini menentang Kuching City FC dalam aksi Unifi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, dengan kegagalan tuan rumah beraksi bakal memberikan kemenangan tiga mata kepada The Cats.
Perlawanan LS6 itu kekal dijadualkan berlangsung jam 9 malam selepas Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) menolak permohonan KL City FC untuk menangguhkan aksi berkenaan.
MFL dalam kenyataan berkata, sekiranya KL City FC gagal turun beraksi, Kuching City FC akan diberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata, manakala kelab tuan rumah turut dikenakan denda RM50,000.
“Sekiranya KL City FC tidak beraksi pada perlawanan itu maka kemenangan 3-0 serta tiga mata akan diberikan kepada Kuching City FC selain pasukan tuan rumah turut bakal dikenakan hukuman denda RM50,000,” menurut MFL.
Bagaimanapun, KL City FC menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini, menyenaraikan pertemuan dengan Kuching City FC, selain memaklumkan penjualan tiket.
“Kuala Lumpur City FC vs Kuching City FC, 26 Ogos 2026 jam 9 malam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Tiket boleh didapati secara dalam talian dan tiket fizikal di Kaunter A bermula jam 5 petang hingga tamat separuh masa pertama,” menurut hantaran berkenaan.
Bagaimanapun semakan menerusi sistem MyPAS setakat jam 3 petang hari ini, mendapati senarai pemain yang didaftarkan oleh KL City FC masih seramai 12 orang terdiri daripada 11 pemain dan seorang penjaga gol.
Sementara Kuching City FC dalam hantaran berkata, perlawanan malam ini penting dalam misi untuk membawa pulang tiga mata penuh.
“Misi untuk mendapatkan tiga mata pertama untuk Liga Super 2026/2027 selepas keciciran mata pada perlawanan Sumbangsih minggu lepas,” katanya, hari ini.
Aksi malam ini menjadi tumpuan selepas KL City FC gagal beraksi dalam perlawanan pembukaan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC pada 22 Ogos lalu susulan isu membabitkan kesihatan pemain dan pegawai pasukan yang dilaporkan dijangkiti influenza.
Dalam mesyuarat khas yang berlangsung semalam, Ahli Lembaga Pengarah MFL meneliti semua dokumen, laporan dan maklumat yang dikemukakan pihak berkaitan termasuk laporan perubatan daripada hospital kerajaan bertarikh 24 Ogos 2026 yang diserahkan KL City FC.
Hasil penelitian mendapati KL City FC gagal menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal sehingga menyebabkan kelab berkenaan tidak dapat menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang Negeri Sembilan FC.
Keadaan itu menyebabkan KL City FC melanggar syarat pendaftaran pemain Liga Malaysia yang menetapkan setiap kelab perlu mendaftarkan minimum 15 dan maksimum 20 pemain, termasuk sekurang-kurangnya dua penjaga gol.
Susulan itu, MFL memberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata kepada Negeri Sembilan FC selain mengenakan denda RM50,000 kepada KL City FC serta mengarahkan kelab berkenaan membayar semua ganti rugi dan kos berkaitan yang diputuskan MFL.
Bagi Kuching City FC, aksi malam ini menjadi peluang untuk meneruskan kempen Liga Super di gelanggang lawan, namun status perlawanan hanya akan ditentukan selepas KL City FC turun beraksi seperti yang dijadualkan.



