KUCHING: Pemain terbaik kategori bawah 12, 14 dan 16 tahun dalam Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 berpeluang diserap menyertai Akademi Kuching City FC sebagai usaha melahirkan lebih ramai pelapis bola sepak tempatan Sarawak.
Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan, berkata kerjasama berterusan dengan PETRONAS dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) itu menjadi platform penting mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Alhamdulillah, tahniah kepada PETRONAS kerana kerjasama ini sudah berlangsung kira-kira tiga hingga empat tahun bersama KDFA dan Kuching City FC.
“Kejohanan seperti ini sangat positif kerana membantu kami mencungkil bakat baharu, khususnya pemain terbaik kategori bawah 12, 14 dan 16 tahun untuk menyertai akademi Kuching City,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, semalam.


Menurutnya, pembangunan pemain muda merupakan antara perancangan jangka panjang yang perlu diberikan perhatian oleh persatuan bola sepak di setiap bahagian bagi memastikan bakat tempatan tidak tercicir daripada sistem pembangunan sukan.
Beliau berkata, Kuching City kini mempunyai kira-kira 120 pemain dalam kategori bawah 12 tahun (B-12) di peringkat akademi, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif usaha pembangunan bola sepak akar umbi.
“Kami mahu pemain yang mempunyai potensi diberikan bimbingan sewajarnya supaya bakat mereka dapat terus berkembang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa barisan kejurulatihan akademi turut melibatkan jurulatih berkelayakan daripada pelbagai akademi bola sepak yang berpusat di Kuching.
Selain itu, guru sekolah yang mempunyai kelapangan masa turut diberi peluang menyumbang kepakaran dalam membimbing pemain muda menerusi program pembangunan akademi.
Pendekatan tersebut membolehkan Kuching City memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan jurulatih tempatan, selain memperkukuh hubungan antara kelab, akademi serta institusi pendidikan dalam pembangunan bola sepak.
Penganjuran PYFCT 2026 turut menjadi medan kepada pemain muda memperlihatkan kemampuan masing-masing melalui pertandingan kompetitif, sekali gus memberi peluang kepada pihak kelab mengenal pasti pemain yang berpotensi untuk diketengahkan.
Kejohanan Edisi Kuching yang bermula pada 27 September lalu melabuhkan tirai semalam di Padang Bola Sepak Sintetik KDFA, dengan Axis Kids Academy muncul juara kategori B-14 dan SMK Sri Matang Development Club mengungguli saingan B-16.
Kerjasama Kuching City bersama PETRONAS itu diharap dapat memperkukuh kesinambungan pembangunan pemain muda, sekali gus menyediakan laluan lebih tersusun kepada bakat tempatan untuk mengejar peluang beraksi pada peringkat lebih tinggi.




