KUCHING: Kuching City FC memberi tumpuan kepada pelan permainan sendiri dan enggan terlalu memikirkan kekuatan Tampines Rovers FC menjelang aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026-2027 di Stadium Taha Ariffin, jam 9 malam esok.
Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau menghormati kemampuan wakil Singapura itu yang memiliki ramai pemain berpengalaman, termasuk beberapa tonggak pasukan kebangsaan dan pemain asing berkualiti.

“Ini perlawanan dan pertandingan baharu untuk kelab, tetapi bukan sesuatu yang baharu bagi sebahagian pemain dan jurulatih.
“Saya jangka ia akan menjadi satu lagi perlawanan menarik kerana kedua-dua pasukan mahu bermain bola sepak yang baik. Tampines sangat bagus ketika menguasai bola dan mempunyai ramai pemain berkualiti,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Tampines Rovers merupakan antara pasukan berpengalaman di rantau ini dengan barisan pemain seperti Faris Ramli, Shah Shahiran dan Amirul Adli, selain beberapa pemain Jepun dalam skuad mereka.
Aidil berkata, pengalaman Tampines di pentas Asia dan serantau menjadikan mereka lawan yang perlu dihormati, namun Kuching City tidak mahu mengubah fokus daripada persiapan sendiri.
“Setiap kali kita bercakap mengenai perlawanan antarabangsa, ia sentiasa sukar. Pasukan yang berada di pertandingan seperti ini biasanya terdiri daripada juara piala atau pasukan teratas liga masing-masing.
“Tampines juga mempunyai pengalaman beraksi di kejohanan Asia dan Shopee Cup, jadi sudah tentu mereka mempunyai kualiti,” katanya.
Aidil turut mengakui beliau cukup mengenali beberapa pemain Tampines serta barisan kejurulatihan pasukan berkenaan berdasarkan pengalaman beliau dalam bola sepak Singapura.
“Saya mengenali kualiti mereka kerana saya datang dari Singapura. Ada pemain yang pernah bermain di bawah saya sebelum ini dan jurulatih mereka juga merupakan rakan baik saya.
“Jadi, saya tahu mereka mempunyai pemain tempatan bertaraf antarabangsa dan pemain asing yang berkualiti,” katanya.
Namun begitu, beliau menegaskan Kuching City mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri dan mahu menggunakan kesempatan itu untuk mencatat permulaan positif dalam saingan serantau.
“Jika dilihat kepada dua pertandingan yang kita sertai sebelum ini, kita tidak memulakannya dengan baik, tetapi kedua-duanya berlangsung di tempat lawan. Kali ini kita bermain di laman sendiri dan kita mahu mengubah keadaan itu,” katanya.
Menurut Aidil, perkara paling penting ialah pemain memasuki perlawanan dengan mentaliti positif serta menikmati permainan di hadapan penyokong sendiri.
“Kita mahu pemain mempunyai mentaliti yang betul dan menikmati bola sepak, terutama untuk penyokong. Itu perkara paling penting,” katanya.
KCFC diletakkan dalam Kumpulan A bersama Tampines Rovers FC, Buriram United FC, Ratchaburi FC, Ho Chi Minh City Police FC, Borneo FC Samarinda dan Manila Digger FC.



