KUCHING: Kuching City FC berdepan satu lagi masalah kecederaan apabila Joao Pedro mengalami kecederaan otot paha belakang selepas berperanan penting bersama Ramadhan Saifullah Usman dalam kemenangan 2-0 ke atas Selangor FC, Ahad lalu.
Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak berkata, pemain itu terpaksa dikeluarkan bukan kerana prestasi, sebaliknya akibat kecederaan ketika membantu skuad The Cats mara ke final Piala FA 2026/2027 buat pertama kali di Stadium Taha Ariffin.

“Kecederaan itu kelihatan agak membimbangkan apabila beliau terbaring di atas padang selepas separuh masa pertama. Saya berharap ia tidak serius,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Menurut Aidil, Pedro ditugaskan bermain di posisi pertahanan kiri dengan peranan lebih menyerang bagi membentuk gandingan bersama Ramadhan untuk memberikan tekanan terhadap benteng kanan Selangor.

Beliau menjelaskan bahawa percaturan itu membolehkan kedua-dua pemain melakukan gerakan dan mencipta kelebihan jumlah pemain ketika melancarkan serangan.
“Bukan sesuatu yang baharu untuk Pedro bermain di pertahanan kiri.

Kami mahukan beliau bergerak ke hadapan dan bergabung dengan Ramadhan bagi menambah kekuatan serangan.
“Walaupun posisinya sebagai pertahanan, tugasnya ialah membantu serangan melalui gerakan bertindih.
Pemain pertahanan kanan Selangor, Quentin Cheng juga berdepan kesukaran menangani kedua-dua pemain itu,” jelasnya.
Bagaimanapun, kecederaan Pedro menambahkan senarai pemain yang masih menjalani pemulihan, termasuk Gabriel Peres dan Ronald Ngah Wanja yang masing-masing terpaksa berehat dua bulan selepas menjalani pembedahan lutut.
Aidil turut memaklumkan bahawa Jimmy Raymond mengalami keretakan pada kaki dan dijangka memerlukan tempoh pemulihan antara satu hingga dua bulan, bergantung kepada perkembangan kecederaannya.
Sementara itu, Ajdin Mujagic mengalami ketegangan serta sedikit koyakan otot di bahagian hadapan paha, manakala Irfan Zakaria masih diketepikan akibat kecederaan lutut dan Ahmad Israiwah baru pulih.
“Kami tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain yang belum pulih sepenuhnya hanya untuk satu perlawanan. Saya berharap tempoh rehat antarabangsa ini dapat membantu mereka kembali cergas,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Aidil turut memuji disiplin pertahanan Kuching City selepas mencatat dua perlawanan berturut-turut tanpa kebolosan ketika menewaskan Gangwon FC dan Selangor dengan keputusan sama, iaitu 2-0.
Menurutnya, gandingan James Okwuosa, Yuki Tanigawa dan penjaga gol Haziq Nadzli serta komitmen seluruh pasukan berjaya mengehadkan peluang lawan menerusi pendekatan bertahan yang lebih tersusun.
“Kami sentiasa mahu meningkatkan prestasi dan memberikan tumpuan kepada setiap perlawanan.
Pemain menunjukkan disiplin tinggi dan bertahan sebagai satu pasukan, bermula daripada barisan serangan hingga penjaga gol,” ujarnya.
Kemenangan ke atas Selangor membolehkan Kuching City mara ke final Piala FA dengan agregat 3-2 selepas bangkit daripada kekalahan 1-2 pada pertemuan pertama, sekali gus menempah perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Januari depan.





