KUCHING: Kuching City FC tidak menolak kemungkinan mendapatkan sehingga dua pemain baharu bagi memperkukuh pasukan pada jendela perpindahan musim kedua bulan Januari depan.
Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata kemungkinan itu bergantung kepada kemampuan kewangan kelab, di samping berharap beberapa tonggak utama yang kini dibelenggu kecederaan kembali pulih sebelum perlawanan final Piala FA 2026-2027.
“Harapnya menjelang Januari nanti, jumlah pemain yang cedera semakin berkurangan dan kami dapat menurunkan barisan pemain terbaik.
“Siapa tahu, mungkin pihak pengurusan boleh mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk mendapatkan seorang atau dua pemain baharu. Kita tengok nanti,” katanya pada sidang media selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin pada Ahad.
Bagaimanapun, Aidil menegaskan bahawa sebarang perancangan membawa masuk pemain baharu perlu mengambil kira kedudukan kewangan kelab bagi memastikan perbelanjaan tidak melebihi kemampuan.
“Kami perlu menguruskan pasukan berdasarkan kemampuan sendiri. Kami tidak mahu berbelanja secara berlebihan sehingga akhirnya berdepan masalah membayar gaji pemain.
“Apabila gaji tidak dibayar, pemain juga tidak mahu beraksi. Jadi, perkara paling penting ialah memastikan perbelanjaan sentiasa dalam kemampuan kelab,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aidil menyifatkan kejayaan mara ke final Piala FA sebagai satu lagi pencapaian bermakna sepanjang membimbing Kuching City, selepas sebelum ini membawa pasukan ke final Piala Cabaran dan Piala Malaysia.
“Alhamdulillah, sejak saya datang ke Kuching City, kami sudah mara ke final Piala Cabaran, final Piala Malaysia dan sekarang final Piala FA.
“Jadi, berilah saya berehat dahulu,” katanya sambil ketawa ketika ditanya mengenai persiapan menghadapi JDT.
Menurut Aidil, masih terdapat masa untuk memperkemas persiapan sebelum aksi final yang dijadual berlangsung pada Januari depan, manakala pemulihan pemain cedera menjadi antara keutamaan pasukan.
Kuching City menempah tiket ke final Piala FA buat pertama kali dalam sejarah kelab selepas menewaskan Selangor FC 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Taha Ariffin pada Ahad.
Sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-57 dan jaringan sendiri Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-118 memastikan skuad The Cats bangkit daripada kekalahan 1-2 pada pertemuan pertama untuk mara dengan agregat 3-2.
Kejayaan itu membuka peluang kepada Kuching City memburu kejuaraan Piala FA pertama kelab apabila berdepan JDT pada aksi final yang dijadual berlangsung pada 16 Januari 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.






