KUCHING: Enam perlawanan, enam kemenangan, 25 jaringan tanpa bolos — rekod sempurna itu menjadi bekalan Kuching FA apabila turun menentang Miri FA pada aksi pertama suku akhir Piala Premier Sarawak (PPS) 2026 di Stadium Miri, 3.30 petang esok.
Juara Zon Selatan Liga Premier Sarawak (LPS) 2026 itu menamatkan saingan liga dengan maksimum 18 mata, selain muncul satu-satunya pasukan yang tidak dibolosi sepanjang peringkat zon.
Ketajaman Kuching turut dipacu Mohammad Shafitri Salim yang mengetuai carta penjaring LPS dengan lapan gol, manakala Mohamad Nur Raziman Razali dan Mohammad Faris Mohd Faidillah masing-masing menyumbang empat jaringan.



Ketua jurulatih Kuching FA, Mohammad Dzulazlan Ibrahim berkata, pasukannya mahu meneruskan momentum kemenangan dan mempertahankan rekod tanpa bolos ketika berdepan Miri.
“Alhamdulillah, persiapan berjalan dengan baik dan sesi latihan sepanjang minggu ini berlangsung seperti biasa,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.
Dzulazlan bagaimanapun enggan memandang mudah cabaran Miri yang menamatkan saingan Zon Utara di tempat keempat dan bakal mendapat kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Miri mencatat keputusan bercampur sepanjang saingan zon, termasuk kemenangan 3-1 ke atas Kapit FA dan 2-1 ke atas Sarikei FA, selain seri 2-2 dengan Mukah FA.

Bagi Kuching, kempen PPS kali ini turut membawa misi menebus kekecewaan edisi lalu apabila perjalanan mereka terhenti di separuh akhir kepada Bintulu FA.
Pertemuan Kuching-Miri menjadi satu daripada empat aksi suku akhir pertama PPS yang berlangsung serentak petang esok.
Piala Premier Sarawak merupakan kesinambungan daripada saingan LPS yang menghimpunkan empat pasukan terbaik dari Zon Selatan dan Zon Utara ke peringkat kalah mati bagi menentukan juara keseluruhan.

