ARTIKEL

Dr. Sim ketika berucap pada Malam Penyampaian Hadiah dan Amal Kuching Festival 2026

Kuching Festival bukan sekadar hiburan – Dr Sim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching Festival bukan sekadar medan perniagaan dan hiburan, sebaliknya menjadi wadah memperlihatkan nilai kemanusiaan serta semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata penganjuran festival itu mencerminkan sikap masyarakat Sarawak yang sanggup membantu sesama sendiri tanpa mengira latar belakang, khususnya menerusi usaha kebajikan dan sumbangan kepada golongan memerlukan.

“Ramai yang melakukan kerja amal sebenarnya tidak perlu melakukannya, tetapi mereka memilih untuk membantu seorang lagi rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap pada Malam Penyampaian Hadiah dan Amal Kuching Festival 2026, di sini, semalam.

Menurutnya, nilai berkenaan menjadi antara keistimewaan masyarakat Sarawak kerana mereka tetap memilih untuk membantu orang lain walaupun berdepan kesibukan atau mempunyai kemampuan berbeza.

“Keprihatinan itu turut ditunjukkan terhadap golongan yang berdepan cabaran seperti autisme, kanser dan masalah kesihatan lain yang bukan menjadi pilihan mereka.

“Walaupun sumbangan yang diberikan mungkin kecil, keikhlasan untuk membantu tetap mencerminkan nilai kemanusiaan yang perlu dipertahankan,” ujarnya.

Dr Sim berkata semangat kebersamaan itu turut menjadi sesuatu yang ingin ditonjolkan Sarawak kepada seluruh Malaysia, dengan masyarakatnya terus menunjukkan keprihatinan terhadap satu sama lain tanpa mengira status ekonomi.

Nilai berkenaan perlu terus dipelihara ketika Sarawak bergerak ke arah menjadi negeri maju dan makmur menjelang 2030.

Beliau berkata kemajuan ekonomi semata-mata tidak mencukupi sekiranya masyarakat kehilangan nilai kemanusiaan dan tidak lagi mengambil berat terhadap keadaan orang di sekeliling.

Menurutnya, usaha berkenaan memerlukan setiap anak Sarawak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan pembangunan negeri terus memberi manfaat kepada masyarakat.

Kuching Festival antara platform memperlihatkan semangat tersebut menerusi penglibatan peniaga, penaja, pertubuhan kebajikan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat umum.

Beliau turut menegaskan semangat kebersamaan itu perlu terus diperkukuh bagi memastikan Sarawak bukan sahaja berkembang dari segi ekonomi, tetapi turut dikenali kerana nilai kemanusiaan dan kepedulian masyarakatnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU