KUCHING: Kuching menjadi lokasi pertama di Malaysia bagi jenama hotel premium voco milik IHG Hotels & Resorts menerusi pembukaan rasmi voco Kuching di Wisma Elica.
Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan, Asia Timur dan Pasifik, IHG Hotels & Resorts Rajit Sukumaran berkata, voco merupakan jenama premium IHG yang paling pesat berkembang dengan lebih 235 hotel telah beroperasi atau berada dalam perancangan pembangunan di seluruh dunia.
“Jenama ini menawarkan pengalaman autentik, reka bentuk tersendiri, layanan mesra serta personaliti yang mencerminkan destinasi tempat ia beroperasi kepada pengembara masa kini.
“Setiap hartanah digalakkan menampilkan identiti tersendiri sambil mengekalkan kualiti dipercayai dan perkhidmatan cemerlang yang diharapkan oleh tetamu daripada IHG,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wisma Elica yang menempatkan voco Kuching by IHG dan Care Collective serta dirasmikan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Rajit berkata, kekayaan warisan dan budaya Kuching menjadikan bandar raya itu sesuai untuk menempatkan sebuah hotel yang memiliki identiti serta keunikan tersendiri.
“voco Kuching merealisasikan perkara itu dengan menghimpunkan reka bentuk kontemporari, hospitaliti yang penuh perhatian serta kemesraan yang menjadi identiti jenama voco dan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Mengulas tentang kerjasama dengan Elica Equity Sdn. Bhd., beliau berkata, terdapat kesungguhan untuk menghasilkan pembangunan yang dapat memberikan sumbangan bermakna kepada Kuching dan Sarawak.
“Pembangunan ini menghormati sejarah hartanah ikonik berkenaan sambil membayangkannya semula bagi memenuhi keperluan generasi pengembara baharu.
“Semangat itu bersama-sama komitmen teguh Elica Equity terhadap kualiti memberikan kami keyakinan bahawa kerjasama ini akan berjaya,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau memuji keputusan Elica Equity untuk menggabungkan Care Collective dalam pembangunan Wisma Elica.
“Langkah ini mencerminkan visi lebih luas yang melangkaui bidang hospitaliti dengan memenuhi perubahan keperluan masyarakat,” kongsinya.






