LUBOK ANTU: Kementerian Pengangkutan Sarawak akan mengemukakan surat rasmi kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi memohon supaya kelulusan dapat dipercepat berkaitan cadangan pembukaan laluan bas rentas sempadan yang akan menghubungkan Kuching dengan Putussibau, Kalimantan Barat melalui pintu masuk Lubok Antu–Nanga Badau.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, cadangan laluan tersebut bukan sahaja akan memudahkan pergerakan rakyat di kedua-dua wilayah, malah berpotensi merancakkan sektor pelancongan, pelancongan perubatan perdagangan dan aktiviti ekonomi rentas sempadan.
“Sekiranya laluan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu–Nanga Badau dan seterusnya ICQS Tebedu–Entikong dimanfaatkan, tempoh perjalanan dijangka dapat dipendekkan lebih daripada separuh (20 jam), sekali gus menawarkan pilihan perjalanan yang lebih cepat dan efisien kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan kerja ke ICQS Lubok Antu bagi meninjau kesiapsiagaan kemudahan serta menilai cadangan pembukaan laluan bas rentas sempadan yang akan menghubungkan Kuching dengan Putussibau, Kalimantan Barat melalui pintu masuk Lubok Antu–Nanga Badau.
Lawatan tersebut bertujuan menilai aspek operasi dan kemudahan di ICQS Lubok Antu serta mendapatkan maklum balas daripada agensi-agensi berkaitan dan pengendali bas berkaitan cadangan laluan baharu itu, yang dijangka mampu meningkatkan kesalinghubungan di antara Sarawak dengan Kalimantan Barat.

Dalam pada itu, Lee berkata kementeriannya turut melihat potensi Kuching untuk berkembang sebagai sebuah hab transit serantau yang menghubungkan rangkaian pengangkutan udara dan darat di antara Sarawak dengan Indonesia.
Menurutnya, dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus antara Kuching dan Jakarta serta penyertaan AirBorneo pada masa hadapan, laluan bas rentas sempadan berkenaan akan terus memperkukuh kedudukan Kuching sebagai hab transit serantau yang menghubungkan rangkaian pengangkutan udara dan darat.
“Penumpang dari Indonesia boleh meneruskan perjalanan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke pelbagai destinasi, manakala penumpang yang tiba di Kuching juga boleh meneruskan perjalanan ke Kalimantan melalui perkhidmatan bas rentas sempadan.
“Ini akan mewujudkan ekosistem pengangkutan yang lebih bersepadu dan saling melengkapi di antara kedua-dua wilayah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua syarikat pengendali bas iaitu Biaramas Express dari Sarawak dan DAMRI dari Indonesia menyatakan kesiapsiagaan mereka untuk memulakan operasi.
Justeru, beliau berharap proses kelulusan dapat disegerakan supaya laluan itu dapat dibuka secepat mungkin demi memberikan kemudahan pengangkutan yang lebih baik kepada rakyat di kedua-dua wilayah.



