KUCHING: Bandar raya Kuching bakal menjadi tuan rumah Persidangan Bandar Kreatif UNESCO dalam bidang Gastronomi pada tahun hadapan.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata keputusan itu dicapai selepas Kuching berjaya mengetepikan Turki untuk memenangi hak penganjuran persidangan berkenaan.
“Kita bersaing dengan Turki dan proses pengundian berlangsung di Mexico, dan Kuching berjaya memperoleh hak penganjuran persidangan kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam tahunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, di sini malam tadi.
Justeru katanya, persidangan itu akan menonjolkan warisan kulinari unik Kuching serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi gastronomi bertaraf antarabangsa.
Dalam perkembangan lain, Wee berkata MBKS juga akan terus memfokuskan usaha meningkatkan perkhidmatan perbandaran, termasuk masa tindak balas, kebersihan, penyelenggaraan taman serta penguatkuasaan.
Bagi mengumpul maklum balas awam, katanya kod QR khas dilancarkan bagi membolehkan penduduk memberikan pandangan melalui soal selidik, sekali gus membantu majlis meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Beliau turut menekankan beberapa fokus utama MBKS menjelang 2026, termasuk pemerkasaan inklusiviti melalui projek seperti Ausome Park, Bank Sampah, Bandar Mesra Kanak-Kanak dan Bandar Mesra Warga Emas.
“Selain itu, kita akan menyokong pertumbuhan ekonomi dengan memastikan Kuching Selatan bersih, stabil dan mesra perniagaan, sambil melabur dalam pembangunan kapasiti dalaman melalui latihan, pembangunan kepimpinan dan kerjasama berpasukan,” jelasnya.






