KUCHING: Lebih 1,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara membanjiri Kuching bagi memeriahkan Borneo Island International Big Bike Festival (BIIBBF) Ke-24 yang terus menjadi platform penyatuan komuniti permotoran di rantau Borneo.
Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Ramzi Abdillah berkata, penganjuran festival ini membuktikan keupayaan Kuching sebagai tuan rumah program antarabangsa.
“Ini membuktikan festival ini berjaya mengukuhkan semangat persaudaraan dan juga merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi tempatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Gala Ke-24 Borneo Island International Big Bike Festival (BIIBBF) di Tebingan Kuching, malam tadi.

Tambah beliau, kehadiran peserta dari Sabah, Labuan, Brunei Darussalam, Kalimantan dan seluruh Sarawak mencerminkan hubungan erat komuniti penunggang motosikal yang telah terjalin lebih dua dekad lalu.
“DBKU sentiasa menyokong aktiviti sihat dan positif seperti ini kerana ia bukan sahaja memupuk perpaduan, malah memberi manfaat kepada pembangunan komuniti dan industri pelancongan.
“Justeru, penganjuran BIIBBF yang memasuki edisi ke-24 sejak tahun 2000 ini membuktikan kesinambungan program yang konsisten serta menjadi simbol kekuatan jaringan komuniti permotoran Borneo,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramzi berkata festival ini bukan sekadar acara permotoran, sebaliknya menjadi simbol perpaduan dan persaudaraan rentas negara di rantau Borneo.
“Walaupun kita datang daripada pelbagai latar belakang, semangat persaudaraan yang ditunjukkan amat jelas dan ini perlu terus dipelihara.
“Oleh itu, DBKU komited untuk terus menjadikan Kuching sebagai bandar raya yang aktif dengan penganjuran pelbagai acara antarabangsa serta mesra pengunjung.
“Kami mahu memastikan Kuching sentiasa hidup, mesra pengunjung dan selamat untuk semua,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Ramzi berkata beberapa perancangan program akan datang termasuk acara Dinner in the Sky di Pengkalan Sapi yang dijadualkan berlangsung sekitar Julai hingga September ini.
“Saya mengalu-alukan kehadiran komuniti penunggang motosikal untuk terus menjadikan Kuching sebagai destinasi pilihan pada masa akan datang serta memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Borneo Island Big Bikers (BIBB), Ramlee Tuah berkata penganjuran BIIBBF Ke-24 bukan sekadar acara permotoran, sebaliknya menjadi simbol penyatuan komuniti bikers di seluruh Borneo.
“Festival ini dianjurkan sejak tahun 2000 dan terus kekal sebagai platform mengeratkan hubungan persaudaraan dalam kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi.
“BIIBBF ini bukan hanya tentang motosikal, tetapi tentang persaudaraan, kekeluargaan dan semangat perpaduan yang telah kita bina sejak 24 tahun lalu,” ujarnya.
Menjelas lanjut, beliau berkata BIIBBF juga berperanan mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang unik dengan kepelbagaian budaya, keindahan alam semula jadi serta keramahan rakyatnya.
“Semoga hubungan persahabatan yang telah terjalin akan terus kekal dan diperkukuh pada masa akan datang,” katanya.



