KUCHING: Di dapur sederhana di Kampung Tupong, tangan Sanuyah Jaya tidak pernah berhenti membungkus kuih bongkol dalam balutan daun pisang, satu juadah tradisi yang diwarisi daripada keluarga mentuanya dan kini menjadi sumber rezeki mereka sekeluarga.
Wanita berusia 39 tahun yang mesra dipanggil Dedek ini mula meneruskan perniagaan kuih tradisional itu sejak 2015 bersama suaminya, Mohd Safarizan Narawi selepas ibu mentuanya tidak lagi mampu mengusahakannya kerana faktor usia.
Kini, perniagaan beliau lebih dikenali sebagai Kuih Bongkol Kuali Panas, jenama yang terkenal dalam kalangan pelanggan tetap tetapi tidak pernah diiklankan di media sosial.
“Pada mulanya, kuih bongkol ini dihasilkan oleh nenek kepada suami saya, kemudian diwarisi oleh ibu mentua dan akhirnya diteruskan oleh saya.
“Ibu mentua saya yang mula berniaga dan resipi ini turun temurun daripada ibunya. Dahulu, ibu mentua saya hanya menolong ibunya membuat kuih ini sebelum akhirnya saya pula yang meneruskan usaha,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Dedek berkata beliau sengaja tidak mempromosikan kuih bongkol di media sosial kerana bimbang pesanan masuk melebihi kemampuan mereka.
“Kami takut kualiti dan rasa kuih terjejas jika mengambil pesanan melebihi tenaga dan kemampuan sendiri.
“Pun begitu, Alhamdulillah, setiap hari hampir 2,000 pesanan diterima daripada pelanggan tetap atau tempahan katering,” ujarnya.
Sebagai suri rumah tanpa pekerjaan tetap ketika itu, Dedek dan suaminya melihat perniagaan kuih bongkol sebagai peluang menjana pendapatan sambil mengekalkan warisan makanan tradisional keluarga.
“Kuih bongkol ini antara juadah tradisional yang sinonim dengan masyarakat Sarawak, khususnya ketika bulan Ramadan.

“Teksturnya lembut seakan kastard, dengan rasa lemak manis hasil gabungan tepung beras, santan segar dan gula apong,” kongsinya.
Dalam pada itu, beliau berkata proses menghasilkan kuih bongkol memerlukan ketelitian dan kesabaran.
“Daun pisang perlu dipotong dan dikukus terlebih dahulu supaya lembut sebelum digunakan untuk membungkus adunan kuih.
“Adunan pula menggunakan bahan asas seperti tepung beras, santan, telur, garam dan air daun pandan sebelum dimasukkan ke dalam kelongsong daun dan dikukus selama kira-kira 15 hingga 20 minit,” jelasnya.
Sejak mengambil alih perniagaan, Dedek menghadapi cabaran terutama perubahan harga kerana peredaran masa dan kenaikan kos barang mentah.

“Dulu kuih ini dijual sekitar 20 sen sebiji. Apabila saya mula mengusahakan perniagaan, harganya sekitar 60 sen dan kini RM1.50 sebiji.
“Saya hanya menjual dengan harga yang murah kerana peniaga yang mengambil bekalan daripada kami untuk dijual semula dengan harga RM2 sebiji,” kongsinya.
Walaupun kelihatan ringkas, setiap kuih dibungkus rapi menggunakan daun pisang kerana daun tersebut membantu menghasilkan aroma semula jadi yang membangkitkan selera dan menambah keenakan hidangan tradisi ini.
Menjelas lebih lanjut, Dedek berkata resipi asal tidak pernah diubah bagi memastikan rasa tradisi kekal seperti dahulu.
“Dari dulu sampai sekarang, rasanya tetap sama, cuma harganya sahaja yang berubah,” katanya.

Sebagai peniaga kecil yang hanya berniaga dari rumah, beliau melihat ia sebagai satu peluang besar untuk memberi sokongan terhadap perniagaan tempatan.
“Saya mendapatkan bekalan bahan mentah seperti daun pisang daripada pembekal sekitar kampung berhampiran di Samarahan.
“Selain itu, santan dan tepung beras pula dibeli daripada kedai dan pasar raya tempatan,” jelasnya.
Selain dijual kepada pelanggan biasa, kuih bongkol Dedek turut menerima tempahan daripada kedai kuih, pejabat dan hotel, terutamanya ketika musim perayaan atau bulan Ramadan.
“Justeru, permintaan meningkat sehingga kami perlu mengehadkan pengeluaran bagi memastikan semua pesanan dapat disiapkan.

“Pada bulan puasa, tempahan memang banyak. Jadi kami hadkan jumlah pengeluaran supaya masih mampu menyiapkan pesanan pelanggan,” jelasnya.
Dedek juga berkongsi pengalaman mencabar ketika banjir melanda beberapa tahun lalu.
“Kami pernah buat kuih semasa banjir. Air sudah masuk sampai ke tempat kerja, jadi kami kukus kuih sambil berdiri. Memang susah, kadang-kadang kuih jadi sedikit bengkok.”
Kini, perniagaan yang dijalankan bersama ahli keluarga bukan sahaja menjadi sumber rezeki, malah memastikan kuih bongkol tradisional terus dikenali oleh generasi baharu.
“Kini, saya dibantu oleh kakak sulung dan adik bongsu yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.
“Mereka membantu mengelap daun pisang dan mengukus kuih, namun untuk membancuh adunan masih saya lakukan sendiri bagi mengekalkan kualiti dan rasa kuih,” tambahnya.
Bagi Dedek, selagi ada permintaan dan tenaga, warisan kuih bongkol keluarganya akan terus dihasilkan seperti yang diajar oleh generasi terdahulu.





