KUIH peneram atau kuih denderam sememangnya menjadi pilihan juadah minum petang.
Bagi masyarakat Melanau, kuih ini lebih dikenali sebagai kuih redem.
Biasanya redem dihidang bersama-sama minuman kopi atau teh.
Mulanya hanya membuat kuih redem untuk menunaikan hajat orang ramai, Aisyah Mohamad, 40, lebih mesra dikenali sebagai Ucu Ecot tidak menyangka ia menjadi perniagaan sehingga kini.
“Saya mula membuat kuih redem ini sejak 2018 selepas bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah.
“Pada tiga tahun pertama, saya membuatnya untuk mengisi masa lapang dan menunaikan hajat rakan sekerja di sekolah dan rakan sekerja suami.
“Melihat situasi tersebut, suami saya mencadangkan menjual redem secara dalam talian dan membuka perniagaan dari rumah sehingga sekarang,” katanya kepada Suara Sarawak.
Ucu Ecot mendedahkan dia belajar membuat kuih redem ini daripada arwah ibu dan ibu saudaranya. Ia resipi turun-temurun dan tradisi arwah ibunya.
Walaupun resipi membuat kuih ini tidak memerlukan banyak bahan, akan tetapi pada awal perniagaan dahulu agak sukar mendapatkan gula apong asli.
“Harga gula apong juga agak mahal dan pada ketika itu ia tidak mendatangkan untung, tapi saya tetap meneruskan perniagaan ini.
“Alhamdulillah, kini bahan mentah membuat kuih redem mudah didapati dan saya juga mempunyai pembekal gula apong dari Pusa dan Tambak,” ujarnya.
Dia memberitahu, menjadikan kuih redemnya lain daripada yang lain kerana dia menggunakan sepenuhnya gula apong.
“Apabila kuih ini masih panas, di luarnya rangup dan apabila sudah sejuk ia lembut serta kurang manis.
“Setakat ini, sambutan orang ramai memberangsangkan. Pelanggan boleh memilih sama ada mahu membeli kuih redem panas atau yang sudah siap dibungkus,” jelasnya.
Bagi Usu Ecot, setiap perniagaan mempunyai cabaran dan kekurangan modal ketika menerima permintaan tinggi jadi cabaran dalam perniagaannya.
“Kekurangan bahan terutama pada musim panas dan air pasang besar, juga cabaran dalam perniagaan ini.
Selain menjual dari rumah setiap hari, dari 8 pagi hingga 4 petang, Usu Ecot turut menjual di Pekan Sabtu Oya setiap Sabtu dari 6 hingga 11 pagi dan Pantai Kala Dana Mukah setiap Ahad dari 2 hingga 7 petang.
Maklumat lanjut berkaitan kuih redem, sila layari Facebook Usu Ecot.