Kulat kini antara tumbuhan terancam

KUCHING: Kulat kini dikenal pasti antara tumbuhan terancam sama seperti tumbuhan hutan yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation Sdn. Bhd. (SFC) Zolkipli Mohamad Aton berkata perkara tersebut berpunca daripada kehilangan habitat, kehilangan simbiosis perumah, pencemaran, eksploitasi dan perubahan iklim mikro.

Beliau menjelaskan semua pihak yang terlibat perlu bertindak segera mengumpul maklumat dan pangkalan data asas sebanyak mungkin kerana sebahagian besar spesies kulat masih belum dikenal pasti.

“Sebagai contoh kini, terdapat 75 spesies yang diterbitkan dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) di seluruh dunia.

“Di Malaysia, kita hanya mempunyai satu spesies yang diterbitkan di laman sesawang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam 1st Southeast Asia Fungal Red List Workshop di Taman Negara Gunung Gading di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Pengurus Besar SFC Oswald Braken Tisen.

DATUK LEN TALIF SALLEH (kanan kedua) diberi penerangan oleh Dr Gregory M. Mueller (kanan) mengenai spesies kulat yang ada.

Zolkipli berharap semua peserta yang turut serta dalam bengkel berkenaan dapat berkongsi pandangan, pengalaman dan idea, selain belajar tentang kewujudan usaha pemuliharaan kulat bersama dengan IUCN.

“Saya percaya melalui usaha murni ini, SFC akan mendapat manfaat bersama dalam ilmu pengetahuan termasuk usaha dan strategi untuk meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan kulat.

“Kita cukup bangga kerana menjadi tuan rumah buat pertama kali untuk bengkel di Daerah Lundu ini, selain dapat bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi usaha Dr. Andrew Ngadin yang sentiasa bekeja rapat dengan pihak SFC sejak hari pertama,” ujarnya.

Untuk rekod katanya kolaborasi antara SFC dengan pihak UMT sebelum ini turut sama dalam penyelidikan marin dan projek terestrial.

Tambahnya bengkel tersebut tidak akan dapat dijayakan tanpa bantuan dan sokongan daripada Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Universiti Sains Malaysia (USM), Taman Botanikal Chicago, Kumpulan Pakar SSC IUCN Mushroom, Bracket and Puffball Specialist Group dan pakar kulat.

Suara Sarawak