Kulat pembunuh Jepun ditemui di Australia

SYDNEY: Salah satu kulat pembawa maut di dunia ditemui di utara jauh Australia buat pertama kalinya, ribuan batu dari habitat asalnya di pergunungan Jepun dan Korea.

Kulat Poison Fire Coral itu ditemui di pinggir bandar Cairns oleh jurugambar tempatan dan kemudiannya dikenal pasti oleh saintis, umum Universiti James Cook pada Khamis. Beberapa orang mati di Jepun dan Korea selepas tersalah ambil kulat berwarna merah terang itu menyangka ia cendawan yang boleh dimakan yang biasanya digunakan dalam perubatan tradisional dalam minuman.

Ahli mikologi Universiti James Cook, Matt Barrett yang mengesahkan identiti cendawan toksik ditemui di Australia, berkata penemuan itu menunjukkan penyebaran kulat diketahui secara ketara.

Kulat Poison Fire Coral satu-satunya cendawan yang diketahui mengandungi racun yang boleh diserap melalui kulit, dan menyebabkan pelbagai gejala “mengerikan” jika memakannya, termasuk muntah, cirit-birit, demam dan kebas.

Jika tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kegagalan pelbagai fungsi organ atau kerosakan otak yang membawa kepada kematian.

“Hakikat kita boleh menemui kulat dengan ciri tersendiri dan penting kepada perubatan seperti Poison Fire Coral di belakang rumah kita, menunjukkan banyak yang boleh kita pelajari tentang kulat di utara Australia,” kata Barrett.

Ray Palmer, “peminat fanatik kulat” yang menemui spesimen itu memberitahu AFP dia menghabiskan masa 10 tahun mengambil gambar kulat di hutan hujan sekitar bandar kelahirannya di Cairns.

“Penemuan tersebut tidak mengejutkan kerana sepanjang 10 tahun itu saya menemui beberapa perkara pelik,” katanya.

“Tiada orang mahu berjalan-jalan keluar masuk hutan hujan di sini mengambil gambar kulat. Terdapat beberapa perkara pelik boleh ditemui dan mungkin ia mengambil masa beberapa tahun akan datang.” – AFP