ARTIKEL

Nicholas Wung Duk Ying.

Kumpula M40 Sarawak perlukan pendekatan berbeza dalam Belanjawan 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya merangka dasar bantuan kepada kumpulan M40 berdasarkan kos sara hidup di Semenanjung Malaysia, sebaliknya mengambil kira tekanan kewangan berbeza yang dihadapi kumpulan itu di Sarawak.

Pemangku Setiausaha dan Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching, Nicholas Wung Duk Ying, berkata keluasan geografi Sarawak, kos logistik yang lebih tinggi serta kebergantungan kepada perjalanan udara bagi urusan pendidikan, pekerjaan, rawatan perubatan dan keluarga menyebabkan keluarga M40 di Sarawak berdepan tekanan kos yang berbeza.

“Jika dasar hanya melihat angka pendapatan tanpa mengambil kira kos mengikut wilayah, ia tidak akan benar-benar adil,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Wung berkata Kementerian Kewangan perlu mengkaji mekanisme bantuan khusus untuk golongan berpendapatan sederhana di Malaysia Timur menerusi Belanjawan 2027, khususnya bagi kos pengangkutan, logistik dan perbelanjaan isi rumah.

Beliau pada masa sama menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Belanjawan 2027 akan merangkumi langkah untuk meringankan beban kumpulan M40.

Bagaimanapun, katanya, langkah berkenaan perlu cukup praktikal untuk mengurangkan tekanan kos sebenar yang dihadapi keluarga berpendapatan sederhana.

Katanya, banyak isi rumah M40 sering dilihat sebagai berada dalam keadaan kewangan yang selesa, namun realitinya mereka turut terkesan dengan peningkatan pinjaman perumahan dan kereta, kos pendidikan anak, perubatan dan insurans, pengangkutan serta perbelanjaan harian.

“Ramai keluarga M40 mungkin kelihatan stabil di atas kertas, tetapi mereka masih perlu mengurus perbelanjaan bulanan dengan teliti.

“Mereka mempunyai pendapatan, tanggungjawab dan komitmen, tetapi sering tidak layak menerima kebanyakan bantuan tunai atau subsidi,” katanya.

Wung berkata kumpulan M40 merupakan sebahagian penting daripada ekonomi, termasuk pekerja, golongan profesional, peniaga kecil, keluarga muda dan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, Belanjawan 2027 tidak seharusnya hanya bergantung kepada bantuan secara sekali beri, sebaliknya perlu menyediakan langkah lebih bersasar dalam aspek percukaian, penjagaan kanak-kanak, pendidikan, perumahan, kesihatan, pengangkutan dan kos perniagaan.

Beliau mencadangkan kerajaan memperluas pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan seperti pendidikan anak, penjagaan kanak-kanak, keperluan perubatan ibu bapa, insurans, latihan kemahiran dan peranti digital.

Wung berkata ramai golongan profesional muda, guru, jurutera, pekerja kesihatan dan pengusaha perniagaan kecil di Kuching dikategorikan sebagai berpendapatan sederhana, namun masih berdepan tekanan kewangan sebenar.

“Berdasarkan penglibatan kami di peringkat akar umbi, keluarga M40 muda paling bimbang mengenai pinjaman perumahan, yuran penjagaan kanak-kanak, pendidikan anak, perbelanjaan makanan, kos pengangkutan dan keperluan menyokong ibu bapa,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, PKS dalam kumpulan M40 turut terkesan akibat peningkatan kos sewa, buruh, bahan mentah, elektrik dan operasi.

Beliau berkata insentif cukai, pembiayaan berkadar faedah rendah, geran transformasi digital dan latihan perniagaan boleh membantu mereka kekal berdaya saing.

“Fokus Perdana Menteri terhadap kumpulan M40 merupakan isyarat positif. Apa yang penting sekarang ialah kerajaan mendengar pandangan keluarga, belia, peniaga, golongan profesional dan komuniti tempatan sebelum langkah berkenaan dimuktamadkan,” katanya.

Wung berkata Belanjawan 2027 akan lebih bermakna sekiranya ia dapat menangani kebimbangan sebenar golongan M40, mengurangkan tekanan isi rumah dan memberi lebih keyakinan kepada keluarga berpendapatan sederhana terhadap masa depan.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU