KUALA LUMPUR: Sekumpulan individu bertopeng menceroboh sebuah pusat hiburan di Cheras di sini dan memecahkan barangan di dalam premis itu kira-kira 1.30 tengah hari semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dalam kenyataan berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 7.30 malam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sebuah lori merempuh pintu pagar premis itu sebelum sekumpulan suspek menceroboh masuk dan melakukan khianat dengan memecahkan barangan di pusat hiburan berkenaan.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 dan 148 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek yang terlibat,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 71 saat yang memaparkan sekumpulan individu bertopeng memecah masuk sebuah pusat hiburan.– BERNAMA





