KUCHING: Kejutan manis buat peminat muzik rock alternatif tempatan apabila kumpulan ikonik Hujan diumumkan menyertai barisan utama Konsert Rock In The Jungle (RITJ) 2.0, yang bakal berlangsung di Kampung Budaya Sarawak pada 29 dan 30 Ogos 2025.
Kemunculan Hujan akan membuat persembahan pada hari pertama konsert – diumumkan dalam satu jerayawara promosi di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Bercakap dalam sidang media, Pengarah Festival RITJ 2.0, Sunil Mohd Faizan berkata, salah satu sebab Hujan dipelawa untuk turut serta adalah kerana hubungan rapat mereka dengan industri muzik tempatan.
“Hujan, yang berasal dari Sarawak ialah simbol kejayaan tersebut.
Kami yakin mereka akan memberikan persembahan terbaik dan menghiburkan peminat,” katanya.
Konsert dua hari itu juga menampilkan tiga nama besar antarabangsa — Loudness dari Jepun, serta Kotak dan Gigi dari Indonesia — yang dijangka menghangatkan suasana dengan persembahan bertenaga.
Manakala barisan kumpulan musik tempatan yang akan beraksi termasuk Nice Stupid Playground (NSP), Fearless dan Breath In Ocean (BIO).
Sunil memaklumkan, setiap kumpulan akan membuat persembahan selama satu jam setengah, menjanjikan pengalaman muzik yang padat dan memuaskan.
RITJ 2.0 turut mendapat sokongan penuh daripada Environmental Nation Empowerment Foundation (ENEF), yang berperanan memperkenalkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) kepada masyarakat umum melalui platform hiburan..
“Kami percaya muzik rock boleh menjadi medium terbaik untuk menyampaikan mesej ini kepada golongan muda,” kata wakil ENEF, Bryan.
Usaha ENEF buat masa ini memberi tumpuan kepada pendedahan dan pemahaman awam sebelum memperkenalkan penyelesaian yang lebih luas dalam fasa seterusnya.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan tempat lebih awal, tiket awal berharga RM169 bagi satu hari dan RM300 untuk pas dua hari boleh didapati sehingga 5 Ogos 2025 menerusi https://tickets.pergh.asia.




