Kumpulan pertama 287 pelajar Sarawak dari Semenanjung berlepas ke Kuching 

KUCHING: Kumpulan pertama pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung dihantar pulang ke kampung halaman bermula hari ini.

Ia membabitkan 287 pelajar.

Pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.30 pagi menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Urusan penghantaran pulang itu adalah dibawa kendalian Kementerian Pengajian Tinggi, UPSI, Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak.

Turut hadir pada pelepasan itu ialah Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad.

Sementara itu, Fadillah turut menasihati para pelajar yang pulang supaya mematuhi langkah-langkah keselamatan yang diberikan.

“Pagi ini bersama Menteri Pengajian Tinggi  Datuk Dr Noraini Ahmad menghantar pulang 287 pelajar Sarawak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu kumpulan pertama pelajar Sarawak dibawa pulang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. 

“Pelajar berkenaan bergerak dari UPSI ke KLIA menggunakan 16 bas seawal jam 3.00 pagi dengan setiap bas membawa 18 pelajar (kecuali sebuah bas membawa 17 pelajar) demi memastikan penjarakan sosial dipatuhi sepenuhnya,” katanya. 

“Terima kasih Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kerajaan Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Kementerian Pengajian Tinggi, Sarawak Volunteers, Rumah Sarawak di KL, UPSI, Penerbangan Malaysia (MAS) dan semua pihak yang membantu,” tambahnya.