Kumpulan pertama terima surat tawaran Projek Rumah Mampu Milik di Kampung Bunga Rampai, Bau

KUCHING: Seramai 104 penduduk Kampung Bunga Rampai, Bau di sini menerima surat tawaran Projek Rumah Mampu Milik oleh Kerajaan Sarawak, hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, penduduk kampung tersebut adalah kumpulan pertama yang menerima manfaat daripada projek itu yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri.
“Pada tahun lepas, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Sarawak akan membina 2,500 unit rumah mampu milik kerana apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 2018, mereka tidak menyediakan peruntukan kepada kita untuk membina rumah mampu milik.
“Maka dengan itu, Kampung Bunga Rampai di sini menjadi kumpulan pertama projek ini dan 104 penduduk menerima surat tawaran mereka untuk Projek Rumah Mampu Milik hari ini,” katanya ketika sidang media selepas menyerahkan surat tawaran Projek Rumah Mampu Milik di Kampung Bunga Rampai di sini, hari ini.
Kui Hian menambah, Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mewujudkan institusi kewangan sendiri untuk membantu penerima dalam pinjaman kewangan perumahan.
“Kebanyakan penerima untuk projek ini tidak mampu untuk meminjam wang daripada institusi perbankan dan bank juga tidak mahu meminjamkan wang untuk tujuan membeli rumah.
“Menerusi Mutiara Finance yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, kita akan meminjamkan wang untuk mereka yang mahu membeli rumah mampu milik sendiri,” jelas beliau.
Menurut Kui Hian lagi, setiap rumah yang dibiayai di bawah Mutiara Finance hanya perlu membayar sekitar RM200 hingga RM300 lebih sebulan.
“Untuk itu, kita akan membina lebih 2,500 unit rumah seperti yang disasarkan oleh Ketua Menteri kepada Pembangunan Perumahan (HDC).
“Tujuan kita membina banyak unit rumah ini kerana kita berasakan rumah adalah perkara yang amat penting untuk rakyat Sarawak.
“Jika anda membeli kereta, nilainya akan turun selepas bertahun lama. Tetapi jika anda membeli rumah, nilainya akan sentiasa meningkat dan anda mempunyai bumbung untuk berteduh.
“Inilah sebab mengapa Kerajaan Sarawak di bawah GPS mahu membantu seramai mungkin rakyat kita untuk memiliki rumah sendiri,” ujar beliau.
Untuk rekod, rumah mampu milik di Kampung Bunga Rampai, Bau telah siap awal dari tempoh yang ditetapkan iaitu selama 21 bulan.
Projek tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM21.9 juta dan dua jenis rumah teres yang berukuran 750 kaki persegi.
Penerima di Kampung Bunga Rampai akan dapat mendiami rumah baharu mereka selepas kunci diserahkan kepada mereka dalam masa terdekat.

SIAP… Rumah mampu milik di Kampung Bunga Rampai, Bau yang siap untuk didiami oleh penduduk dalam masa terdekat. – Foto Ramidi Subari

Suara Sarawak