KUCHING: Lebih 9,000 penduduk Skim Penempatan Semula Stampin bakal mendapat manfaat daripada projek tebatan banjir fasa pertama bernilai RM87.96 juta yang dilaksanakan bagi mengurangkan kejadian banjir kilat di kawasan penempatan berusia lebih 50 tahun itu.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, projek yang bermula pada 14 September lalu itu dijadualkan siap pada 13 Mac 2029, melibatkan kerja menaik taraf sistem perparitan utama dan saluran keluar air di kawasan berkenaan.

“Skim penempatan semula ini sudah wujud lebih 50 tahun dan sejak awal lagi kawasan ini tidak mempunyai sistem perparitan yang baik.
“Dengan kelulusan Kerajaan Sarawak, kita kini dapat melaksanakan projek bernilai hampir RM88 juta untuk menaik taraf sistem saliran utama bagi mengurangkan masalah banjir kilat,” katanya ketika ditemui wartawan selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir di Skim Penempatan Semula Stampin, Jalan Stampin Baru, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu penting bagi mengatasi masalah sistem saliran lama yang tidak lagi mampu menampung peningkatan aliran air, khususnya ketika hujan lebat.
“Fasa pertama memberi keutamaan kepada pembinaan serta pembesaran saliran utama sebelum kerja menaik taraf longkang kecil di kawasan perumahan dilaksanakan pada fasa berikutnya.
“Pendekatan itu diperlukan bagi memastikan air dari kawasan kediaman dapat dialirkan dengan berkesan ke saliran utama sebelum dilepaskan ke sistem sungai berhampiran,” jelasnya.
Tambahnya, pelaksanaan projek itu dianggarkan sekitar 30 bulan mengambil kira kedudukan rumah penduduk serta kewujudan pelbagai kemudahan utiliti bawah tanah, termasuk paip air yang perlu dilindungi sepanjang pelaksanaan projek.
Mengikut skop projek, kira-kira enam kilometer longkang tepi jalan sedia ada akan dinaik taraf kepada longkang konkrit bertetulang dengan kelebaran antara 1.2 hingga 2.5 meter.
Kerja itu turut merangkumi pembersihan saluran keluar utama sepanjang kira-kira 1.2 kilometer serta pembinaan atau penggantian kira-kira 250 pembetung dan laluan melintasi longkang bagi melancarkan aliran air.
Selain itu, projek berkenaan melibatkan pembinaan longkang monsun bertutup, longkang perimeter dan struktur takungan konkrit di tapak Sekolah Menengah Chung Hua No. 4 yang akan dibangunkan di kawasan tersebut.



