ARTIKEL

Pengetahuan peribumi pemangkin pembangunan mampan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengetahuan maklumat dan tradisi peribumi tidak seharusnya dianggap sekadar warisan masa lalu, sebaliknya sebagai sumber berharga untuk pembangunan mampan Sarawak.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengetahuan tradisional memainkan peranan penting dalam pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber asli.

Beliau berkata, perkara ini menjadi semakin relevan apabila pembangunan kini bersilang dengan tanah adat, hutan, biodiversiti, dan sumber asli yang lain.

“Pengetahuan peribumi tidak sepatutnya dianggap sekadar sesuatu yang terikat pada masa lalu.

“Ia boleh menyumbang kepada cara kita berfikir tentang kemampanan, pemuliharaan, dan pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab,” katanya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Perluasan Skop Pluralisme Undang-Undang 2026 Auditorium Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Abang Johari berkata, Sarawak sedang meneroka pelbagai peluang dalam ekonomi hijau dan pengurusan sumber mampan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembangunan juga mestilah mengiktiraf komuniti yang menetap dan menjaga tanah berkenaan sejak bergenerasi.

Beliau mengambil maklum bahawa sebahagian besar undang-undang adat dan pengetahuan peribumi di Sarawak diwariskan menerusi tradisi lisan serta amalan komuniti.

“Apabila masyarakat kita berubah, kita mesti bertanya bagaimana pengetahuan ini boleh dipelihara tanpa memisahkannya daripada komuniti pemiliknya.

“Kita mesti bertanya bagaimana adat boleh berevolusi tanpa kehilangan maknanya, dan bagaimana pengetahuan golongan tua dapat diwariskan kepada generasi muda,” katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak juga boleh belajar daripada pengalaman antarabangsa dalam menguruskan hak-hak peribumi, undang-undang adat, serta sistem undang-undang tradisional.

Beliau memetik Kanada, New Zealand, Jepun, Brazil, Filipina, dan United Kingdom sebagai negara-negara yang mempunyai pendekatan berbeza berhubung perkara tersebut.

BERITA LAIN

Jangan salah guna media sosial

MEDIA sosial kini menjadi bahagian penting dalam kehidupan masyarakat moden. Platform seperti Facebook, TikTok, Instagram, YouTube, WhatsApp dan X membolehkan orang ramai berkomunikasi, berkongsi maklumat,

BERITA TERBARU