PAKAN: Kursus pembuatan beg tangan dan beg kulit untuk wanita di kawasan Parlimen Julau membuka ruang untuk mereka mempamerkan kemahiran sekali gus memberi peluang menjana pendapatan melalui produk kraftangan.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata program selama tiga hari itu — dua hari di Pakan dan sehari di Julau — telah membuka minda wanita untuk menghasilkan kraftangan dan produk yang berpotensi dijual.


“Program tiga hari ini melatih mereka membuat beg yang mampu memberi insentif, terutama dalam meningkatkan ekonomi rumah tangga sekiranya usaha ini diperluaskan.
“Tujuan program ini adalah untuk memperkukuh ekonomi isi rumah penduduk, khususnya mereka yang tinggal di rumah panjang, terutamanya wanita,” kata Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Beliau berkata program berkenaan direka khas, dan tenaga pengajar dibawa bagi memberikan idea serta melatih peserta menghasilkan beg yang boleh dikomersialkan.
Selain menguruskan isi rumah, katanya, ramai wanita mempunyai masa lapang dan ini merupakan peluang terbaik untuk memanfaatkan kemahiran mereka bagi menghasilkan produk yang memberi pendapatan tambahan.


“Ini peluang untuk mereka jadikan aktiviti riadah sebagai sumber pendapatan bagi membantu keluarga.
“Ini merupakan program kedua, dan tahun hadapan program ini akan diteruskan supaya wanita mempunyai lebih banyak ruang untuk mempromosikan produk kraftangan mereka.
“Saya berharap program ini membantu mereka menghasilkan produk yang boleh dipasarkan dalam industri pelancongan atau dijual ketika perayaan seperti Pesta Pakan, Pesta Lada dan pelbagai acara lain,” katanya.
Larry berkata wanita kini memikul tanggungjawab lebih besar kerana merekalah yang menjaga dan menjadi tonggak keluarga.



