MUKAH: Seramai 116 orang peserta telah menyertai Kursus Pra Perkahwinan @ Mukah 2026 di Dewan Kuliah Utama Politeknik Mukah (PMU), baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Perdagangan PMU dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah itu melibatkan peserta dari pelbagai bahagian di Sarawak termasuk Mukah, Bintulu, Sibu, Kuching dan Miri.
Menurut Pengarah Program, Siti Faiqah Shahrul Nizam, kursus ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ramai.
“Alhamdulillah, kita mendapat jumlah penyertaan yang memberangsangkan dari pelbagai bahagian di Sarawak.
“Ini mencerminkan keyakinan serta kepercayaan komuniti terhadap program anjuran PMU dalam menyediakan platform kekeluargaan yang berkualiti,” katanya kepada Suara Sarawak.

Mengulas lanjut, katanya, kursus yang diadakan selama dua hari ini merangkumi pelbagai topik berkaitan kekeluargaan sebagai persediaan awal sebelum mendirikan rumah tangga.
Pada masa sama, ia juga selaras dengan keperluan bahawa kursus pra perkahwinan merupakan syarat wajib sebelum perkahwinan.
Sementara itu, Pengerusi Program, Ahmad Nabil Mohamad memberitahu bahawa penganjuran pada tahun ini merupakan kesinambungan kejayaannya pada tahun lalu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua jawatankuasa yang telah berjaya menganjurkan program dengan baik dan lancar.
“Dengan adanya bantuan semua pihak, program ini dapat berjalan dengan lancar,” tambahnya.
Sehubungan itu, wakil Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah, Noorfariza Ahli berharap agar kerjasama antara pihaknya dan PMU terus dipererat.
Ujarnya, kerjasama kedua pihak ini adalah satu usaha yang amat baik dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua institusi.



