ARTIKEL

KWSP bantu rancang persaraan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memperkenalkan i-Legasi dan Kalkulator Matlamat Persaraan yang menjadi sebahagian daripada usaha untuk memastikan kelangsungan pendapatan persaraan serta jaminan kewangan merentas generasi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata perancangan persaraan harus melangkaui fasa pengumpulan simpanan dan memberi tumpuan kepada kecukupan dan kemampanan.

“Kami terus memperluas sokongan kepada ahli bukan sahaja untuk menyimpan, tetapi juga untuk membuat keputusan lebih baik bagi memastikan simpanan mereka berkekalan sepanjang hayat serta meninggalkan legasi buat insan tersayang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kemudahan i-Legasi membolehkan ahli memindahkan sebahagian daripada simpanan KWSP kepada akaun KWSP ahli keluarga terdekat setelah mencapai umur pengeluaran penuh.

Selain itu, kemudahan kaedah bayaran bulanan melalui Pengeluaran Umur 55/60 Tahun sedia ada kini dijenamakan semula kepada iEmas bagi menekankan kepentingan pengurusan simpanan persaraan sebagai sumber pendapatan yang mampan.

Berbanding pengeluaran simpanan secara penuh apabila mencapai usia 55/60 tahun, ahli boleh memilih kaedah bayaran bulanan secara automatik melalui i-Emas, sekali gus membolehkan baki simpanan mereka terus menerima dividen tahunan. 

“Lebih 21,000 ahli telah memilih pengeluaran bulanan apabila mencapai usia 55/60 tahun, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap keperluan pendapatan bulanan yang berstruktur selepas persaraan.

“(Kemudahan) i-Emas menyediakan fleksibiliti untuk mengurus keperluan harian di samping melindungi ahli daripada risiko kewangan seperti penipuan dan pengurangan simpanan secara mendadak, serta memastikan aliran pendapatan yang stabil sepanjang tempoh persaraan,” kata Ahmad.

Selain itu, Kalkulator Matlamat Persaraan yang juga alat digital baharu dalam aplikasi KWSP i-Akaun, direka khusus untuk membantu ahli merancang persaraan secara lebih berkesan. 

Kalkulator itu dapat membantu ahli menganggarkan keperluan simpanan masa hadapan berdasarkan jangkaan gaya hidup dan unjuran perbelanjaan. – Bernama

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU