KUCHING: Hampir lima dekad selepas mencipta kenangan di Kuala Lumpur pada 1975, pengasas bersama The Commodores, Thomas McClary kembali mengubat kerinduan peminat apabila menghidupkan semula era kegemilangan muzik funk dan soul di Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026.
Sebelum kemunculan kumpulan legenda itu, pentas RWMF malam tadi dipanaskan menerusi Segmen Persembahan Malaysia dan Borneo yang menampilkan AKASHA dari Kuala Lumpur.


Kumpulan gabungan muzik dunia itu membawa karya berinspirasikan tradisi kerohanian, rentak warisan leluhur dan bunyi masyarakat bumiputera dunia, sekali gus menghasilkan persembahan yang dekat dengan emosi penonton.
Suasana kemudian diteruskan dengan dentuman perkusi bertenaga tinggi The Thunder Beat of Nanyang Wushu Drums dari Sarawak yang menggabungkan gendang tradisional Cina dengan gerak seni mempertahankan diri wusyu.


Dari Sabah, Straw Lim pula tampil menerusi persembahan pelbagai bahasa yang mengangkat tema identiti, kepelbagaian dan hubungan budaya.
Malam itu terus rancak apabila Drum Up dari Filipina mengambil alih pentas dengan persembahan perkusi interaktif yang menggabungkan perkusi bumiputera, rentak global dan bunyi kontemporari.
Sambasunda dari Indonesia kemudian membawa penonton menyelami muzik tradisional Sunda yang diberi nafas baharu melalui gabungan gamelan Jawa Barat, kacapi, suling, perkusi buluh dan sentuhan muzik dunia.


Persembahan turut diserikan dengan Namgar yang menggabungkan elemen muzik Mongolia dan Jepun, berakar daripada tradisi nomad masyarakat Buryat di Selatan Siberia.
Namun, sorakan paling gemuruh bergema sebaik sahaja The Commodores menampilkan Thomas McClary melangkah ke pentas, seakan-akan membawa kembali era funk dan soul ke hutan hujan Bumi Kenyalang.
Kumpulan itu membuka tirai dengan Lady (You Bring Me Up), sebelum meneruskan persembahan menerusi Dancing on the Ceiling dan All Night Long yang membuatkan pengunjung menari, bertepuk tangan dan menyanyi bersama-sama.


Suasana kemudian memasuki babak lebih tenang menerusi alunan Easy, disusuli Zoom, Sail On, Three Times a Lady, Sweet Love, Jesus Is Love, High on Sunshine, Cebu dan Just to Be Close to You.
Rentak kembali dipacu menerusi Machine Gun, I Feel Sanctified, Slippery When Wet, Too Hot to Trot dan akhirnya Brick House yang menutup persembahan dengan sorakan gemuruh.
Sepanjang persembahan penuh nostalgia itu, McClary bukan sekadar memperdengarkan lagu malar segar, tetapi menghidupkan semula memori sebuah generasi sambil memperkenalkan legasi The Commodores kepada peminat muda.








