ARTIKEL

Setiausaha Kehormat LAKMNS, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Datuk Husain dan Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir bersama tetamu lain merasmikan Program Pengagihan Bubur MASJA-SA.

LAKMNS agih 3,200 pek bubur setiap hari sepanjang Ramadan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program Pengagihan Bubur MASJA-SA anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) menyediakan 3,200 pek bubur setiap hari bermula 1 hingga 10 Mac 2026.

Pengagihan kepada orang ramai dilaksanakan di dua masjid iaitu Masjid Jamek Negeri Sarawak sebanyak 2,400 pek dan Masjid Bandaraya Kuching sebanyak 800 pek.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pengagihan dilaksanakan secara pandu lalu di kedua-dua lokasi berkenaan.

Abdul Aziz mengagihkan bubur kepada orang ramai sambil disaksikan tetamu kehormat lain.

Program itu diadakan bagi menggalakkan kebersamaan dalam kalangan umat Islam serta membantu masyarakat menyediakan juadah berbuka puasa.

Selain itu, ia memperkukuh peranan masjid sebagai platform penganjuran aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan, di samping memberi ruang kepada orang ramai termasuk pihak korporat untuk terlibat dalam program berasaskan komuniti.

Pada tahun ini, Liansin Sdn Bhd menaja 500 kilogram beras, manakala Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menaja 250 kilogram beras bagi menjayakan penyediaan bubur sepanjang program berlangsung.

Dalam perkembangan sama, LAKMNS mengajak orang ramai bersama-sama mengimarahkan beberapa program sempena Ramadan.

Antaranya termasuk Program Haflah al-Quran yang akan diadakan pada 6 dan 7 Mac 2026 masing-masing di Masjid Jamek Negeri Sarawak dan Masjid Bandaraya Kuching.

Selain itu, turut diadakan iktikaf 10 malam terakhir di kedua-dua masjid berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai dipelawa untuk terus menyokong usaha kebajikan dan pengimarahan masjid dengan berinfak bagi menjayakan program sempena Ramadan yang dianjurkan.

Program berkenaan dirasmikan di perkarangan Masjid Jamek Negeri Sarawak hari ini oleh Setiausaha Kehormat LAKMNS, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Datuk Husain.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamad Feisal Said; wakil penaja serta pengurusan kanan LAKMNS.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU