KUCHING: Satu lencongan sementara satu lorong akan dibuka kepada orang awam mulai jam 6.00 petang ini bagi melancarkan pergerakan trafik di Jalan Batu Kitang-Jalan Haji Baki yang terjejas akibat kejadian bahu jalan runtuh.
Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris berkata, pembukaan lencongan sementara itu merupakan langkah segera bagi memastikan kelancaran aliran trafik sementara kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.
“Lawatan ke lokasi terjejas dilakukan hari ini bagi menilai keadaan semasa serta mengenal pasti tahap kerosakan yang berlaku di laluan berkenaan.
“Penilaian ini penting bagi memastikan langkah pembaikan yang sesuai dapat dirancang dan dilaksanakan dengan teratur,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi, JKR Sarawak memberi keutamaan kepada aspek keselamatan pengguna jalan raya dengan memastikan tindakan pembaikan dilaksanakan secara pantas dan berkesan, selain langkah sementara diambil bagi melancarkan pergerakan trafik.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, mengurangkan kelajuan serta mematuhi papan tanda dan arahan keselamatan yang disediakan sepanjang melalui kawasan berkenaan.
JKR Sarawak akan melaksanakan kerja-kerja membaik pulih secepat mungkin bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Terdahulu, kejadian bahu jalan runtuh di laluan tersebut telah menjejaskan sebahagian struktur jalan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna yang menggunakan laluan itu sebagai laluan harian.


