LUNDU: Sebahagian laluan trafik di Perairan Sungai Stamin, Batang Kayan, di sini, akan ditutup sementara selama tiga hari bermula 25 hingga 27 September ini bagi memberi laluan kepada Pertandingan Lumba Perahu Regatta Batang Kayan 2026.
Penutupan berkenaan akan berkuat kuasa dari jam 6 pagi hingga 6 petang dan melibatkan laluan perlumbaan sejauh kira-kira tujuh kilometer.
Lembaga Sungai-Sungai Sarawak memaklumkan, pertandingan berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Daerah Lundu sebagai sebahagian daripada penganjuran Regatta Batang Kayan 2026.
“Oleh itu, semua juragan kapal dan bot serta pengguna sungai dinasihatkan supaya memperlahankan kelajuan dan belayar dengan berhati-hati ketika menghampiri kawasan berkenaan,” katanya dalam satu notis, hari ini.
Sehubungan itu, masyarakat perkapalan dan orang ramai turut diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan petugas yang bertugas sepanjang tempoh penutupan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sebarang kesulitan yang timbul berikutan penutupan sementara laluan tersebut amat dikesali.



