Laluan yang penuh dengan khazanah

KUCHING: Kemudahan infrastruktur dipertingkatkan dalam masa terdekat bagi menjana kemenjadian ekonomi pelancongan di laluan pejalan kaki yang dikenali sebagai Beccari Discovery.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, laluan itu dilihat dapat menjadi tarikan pelancongan kerana kaya dengan khazanah alam semula jadi.

“Kita akan membincangkan perkara ini dengan agensi berkaitan dan bagaimana hendak membangunkan tempat ini supaya menerima kunjungan ramai.

“Ia termasuk penambahan kemudahan awam sama ada tempat letak kereta, tandas awam, tempat rehat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi pelancaran laluan pejalan kaki Beccari Discovery di Jalan Tuanku Yassin 1, Kampung Matang Batu 10, Kuching, semalam.

Dedahnya, sekiranya dipromosikan dengan betul, tempat itu sudah pasti menjadi tarikan utama pelancong sama ada dari dalam ataupun luar negeri.

Tambahnya, kementeriannya turut melakukan promosi termasuk menyediakan dokumentasi sejarah untuk dibukukan sebagai tarikan pengunjung ke kawasan berkenaan.

“Promosi akan diaturkan kerana kita sudah dapat melihat bahawa tempat ini ada potensi dan sejarah tersendiri.

“Sesiapa sahaja tidak perlu datang dari jauh untuk melihat khazanah selain datang ke kuil Hindu yang terletak di sini di sini.

“Kuil Hindu ini juga berbeza dari tempat lain kerana ia dibuat daripada kayu dan terletak di kawasan khazanah negeri,” tambahnya.

Abdul Karim berkata, program di kawasan tadahan air itu dilaksanakan bersama-sama kakitangan Muzium Negeri dan Sarawak Forestry Corporation(SFC).

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Hii Chang Kee dan Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang turut hadir.

Suara Sarawak