BINTULU: Lampu isyarat di persimpangan Jalan Tun Ahmad Zaidi kini beroperasi sepenuhnya bermula 1 November. Ini menandakan pembukaan semula laluan utama itu kepada orang awam selepas selesai kerja naik taraf bagi meningkatkan keselamatan dan kelancaran trafik.
Majlis simbolik pembukaan lampu isyarat tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming bersama pegawai Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan wakil kontraktor projek berkenaan.


Dalam majlis itu, penghadang keselamatan sementara ditanggalkan sebagai tanda pembukaan rasmi laluan berkenaan kepada pengguna jalan raya.
Menurut Johnny Pang, pengaktifan lampu isyarat dan pembukaan semula persimpangan tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri memperkukuh sistem lalu lintas serta menjamin keselamatan pengguna jalan raya di Bintulu.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan malah memberi kemudahan kepada penduduk setempat yang sering menggunakan laluan ini terutamanya pada waktu puncak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek naik taraf tersebut berjaya disiapkan enam bulan lebih awal daripada jadual asal iaitu Jun tahun depan. Ini hasil kerjasama erat antara pihak kontraktor dan agensi pelaksana.
Dalam pada itu beliau turut menyeru orang ramai agar lebih berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya termasuk lampu isyarat demi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar untuk semua.



