SIBU: Program Lan Berambeh Sungkei berpotensi dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan utama di Bahagian Sibu pada masa akan datang susulan sambutan menggalakkan diterima setiap tahun.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, cadangan tersebut dikemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bagi memperluaskan penganjuran program berkenaan.
“Cadangan tersebut telah disampaikan kepada menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan tahun ini program Lan Berambeh dibiayai kementerian di bawah beliau serta mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee yang menjadi pelopor program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Lan Berambeh Sungkei 2026 Bahagian Sibu di di Dataran Tun Tuanku Bujang Sibu Fasa 1 pada Sabtu.
Menurutnya, usaha itu dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar Sarawak untuk hadir menyertai program berbuka puasa yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang.
“Dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, kelab serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lan Berambeh Sungkei diyakini mampu terus berkembang dan menjadi antara acara Ramadan yang dinantikan di Bahagian Sibu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yakin sasaran kehadiran seramai 25,000 pengunjung di dataran tersebut berjaya dicapai apabila jumlah orang ramai yang hadir terus meningkat sehingga memenuhi kawasan berkenaan.
“Kejayaan program ini turut disokong oleh penglibatan pelbagai agensi kerajaan, jabatan, kelab serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama menjayakan penganjuran acara ini,” jelasnya.-TVS






