MIRI: Landskap pekerjaan dijangka mengalami perubahan ketara menjelang 2029 susulan kemunculan teknologi yang akan mewujudkan jenis pekerjaan serta industri baharu.
Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg berkata menjelang 2030 pula semakin banyak pekerjaan akan diperkasa dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) selari dengan perkembangan pesat teknologi berkenaan.
Katanya, berdasarkan dapatan Harvard Business Review 2025–2037 yang dijalankan oleh pakar ekonomi dunia, ekonomi juga dijangka berubah ekoran teknologi tersebut.
Menurut beliau, pada 2025 perkembangan teknologi juga telah mendorong keperluan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja sekali gus mengubah cara bekerja.
“Manakala pada 2026, cara kerja akan menjadi lebih automatik sepenuhnya, termasuk penggunaan dron dalam pelbagai sektor seperti pertanian – operasi dapat dilaksanakan tanpa kehadiran manusia dan hanya dikawal melalui sistem sensor.
“Di Kuching, Transit Aliran Autonomi (ART) juga bergerak tanpa pemandu dan menggunakan kuasa hidrogen, bukan bahan api. Ini pada 2026 sudah berlaku. Menjelang 2029 pula, cara kerja kita akan bertukar disebabkan teknologi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Miri 2026 di Stadium Miri hari ini.
Tambahnya, pakar juga menjangkakan dunia berdepan risiko bencana ekologi yang lebih besar menjelang 2033 susulan perubahan iklim yang semakin ketara, termasuk pola cuaca yang tidak menentu dan ekstrem.
“Sehubungan itu, kita telah menubuhkan Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga di bawah Jabatan Premier Sarawak bagi menyelaras dan memantau perkembangan berkaitan iklim.
“Perkara tersebut penting kerana jika tidak diurus dengan baik, keadaan ini boleh mencetuskan bencana, malah kesannya sudah mula dirasai di beberapa kawasan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa menjelang 2035, perbezaan tahap kefahaman dan penggunaan teknologi antara masyarakat dijangka mewujudkan jurang ketidaksamaan dalam prestasi ekonomi.
Berkemungkinan menjelang 2037 pula, penggunaan robot dalam pelbagai sektor dijangka menjadi lebih meluas sehingga manusia perlu menyesuaikan diri untuk bekerja bersama teknologi berkenaan.
“Sebagai contoh, di China kini sudah ada robot yang mampu mempamerkan kemahiran seperti kung fu, menunjukkan tahap keupayaan teknologi yang semakin maju.
“Dengan jumlah penduduk Sarawak sekitar tiga juta dan keluasan negeri, kita perlu mengubah ekonomi ke arah penggunaan teknologi. Ada kerja boleh dilaksanakan dengan bantuan robot, asalkan kita mampu mengurus dan mengendalikan teknologi tersebut dengan baik,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu kepentingan melahirkan tenaga kerja pakar dan berkemahiran tinggi khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan termasuk akses kepada pendidikan di peringkat universiti. Oleh itu, rebut peluang ini untuk meningkatkan dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terkini bagi memenuhi keperluan pembangunan Sarawak.
“Elakkan perbalahan, sebaliknya berusaha dan belajar bersungguh-sungguh dalam menguasai teknologi. Jika kita berjaya melahirkan generasi yang berilmu dan mahir dalam bidang baharu, insya-Allah kita akan mencapai matlamat tersebut,” tegasnya.

