KUCHING: Permulaan positif buat skuad Kuching City FC-Miri apabila berjaya meraih tiga mata berharga selepas menumpaskan Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 2-0 dalam aksi pembuka tirai liga Piala Presiden 2025 di Stadium UM Arena, Kuala Lumpur petang tadi.
Penyerang sensasi, Muhammad Amran Shah Mohd. Anuar, muncul wira buat kem kendalian Mohamad Hakimi Man dengan menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-73 dan 78.
Kemenangan ini merealisasikan misi awal City Boys Junior untuk mencatat kemenangan pertama mereka musim ini.
Aksi seimbang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan di awal babak pertama, dengan masing-masing mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Namun, segalanya berubah apabila barisan kesebelasan utama yang dipertaruhkan oleh Mohamad Hakimi Man berjaya menguasai pentas saingan sebaik babak kedua bermula.
Dua gol yang dijaringkan hasil penyudah hebat oleh Muhammad Amran Shah Mohd. Anuar menyaksikan kejayaan tersebut.
“Permulaan yang cukup baik bagi kami apabila berjaya meraih kemenangan ini. Syabas kepada pemain kerana melaksanakan tugas dengan sempurna,” ujar Mohamad Hakimi kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Mohamad Hakimi, beliau kagum dengan semangat juang yang dipamerkan oleh pemainnya sepanjang perlawanan. “Mereka berjaya menterjemah strategi yang digunakan sepanjang tempoh perlawanan,” tambah beliau.
Untuk perlawanan kedua, Kuching City FC-Miri akan menentang PDRM FC di Stadium Mini MMU, Cyberjaya pada 27 April ini.



