SETIAP jurugambar mempunyai cerita permulaan yang tersendiri.
Ada yang bermula dengan latar pendidikan formal dalam seni visual, ada juga yang menemui dunia fotografi melalui laluan yang tidak disangka-sangka.
Saya pula memulakan langkah sebagai jurugambar secara perlahan dan organik, iaitu bermula dengan minat, berkembang kepada usaha, dan akhirnya menjadi sebahagian daripada kehidupan.
Segalanya bermula dengan sebuah telefon iPhone 11 pada 2020.
Saya suka merakam apa-apa sahaja, termasuk video dan gambar yang menarik perhatian seperti langit senja, bangunan, ekspresi wajah manusia, atau hidangan makanan dan minuman yang baru tiba di meja.
Pada waktu itu, saya tidak mengambil pusing soal teknikal.
Saya hanya mahu menyimpan kenangan dan detik untuk membuat hantaran di media sosial saya seperti Instagram dan Facebook.
Namun, apabila semakin kerap merakam gambar, saya mula sedar bahawa fotografi bukan sekadar ‘menekan 19 Safar 1447H butang’.
Ia melibatkan pemahaman tentang cahaya, komposisi, jarak subjek dan juga kemampuan untuk bercerita melalui gambar.
Bagi saya, yang penting ialah keikhlasan dalam merakam sesuatu gambar kerana ia memainkan peranan penting dalam menghasilkan gambar yang menarik.
Selain merakam gambar, aplikasi penyuntingan seperti Adobe Lightroom menjadi nadi utama yang menghidupkan setiap foto dan menjadikannya lebih memukau serta sarat cerita.
Dalam pada itu, saya bertekad mengumpul wang hasil daripada kerja sampingan dengan bekerja sebagai penghantar makanan dan melakukan pelbagai kerja lain demi memiliki sebuah kamera idaman.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila, pada tahun 2022, saya berjaya membeli sebuah Sony A7 II, iaitu kamera tanpa cermin (mirrorless) bersensor bingkai penuh (full-frame) yang ikonik dalam siri Sony Alpha.
Walaupun Sony A7 II ini dianggap sebagai kamera lama, namun ia sangat sesuai untuk jurugambar pemula seperti saya.
Satu perkara yang saya pegang sejak awal ialah keyakinan bahawa jurugambar tidak semestinya bermula dengan peralatan mahal.
Yang lebih penting ialah mata yang peka, semangat yang kental dan kejujuran dalam setiap tangkapan.
Gambar yang baik tidak semestinya sempurna secara teknikal, tetapi harus mampu menyentuh perasaan atau mencetuskan pemikiran.
Saya masih ingat, pada awal-awal memegang iPhone 11 itu, saya sering berjalan di sekitar kawasan perumahan hanya untuk mencari subjek yang menarik.
Kadangkala, saya berhenti di tepi jalan untuk mengambil gambar daun yang disinari cahaya pagi atau seekor kucing yang duduk termenung di tepi longkang.
Walaupun kelihatan remeh pada pandangan orang lain, bagi saya, ia ialah latihan mata dan minda untuk melihat keindahan dalam perkara yang biasa.
Ada masa, saya duduk di sebuah kafe selama berjamjam, menunggu momen yang tepat.
Seorang pelanggan yang sedang menghirup kopi sambil termenung ke luar jendela atau titisan air yang jatuh perlahan daripada gelas yang berembun.
Semuanya memberi saya peluang untuk bereksperimen dengan sudut dan pencahayaan.
Fotografi mengajar saya supaya lebih peka terhadap persekitaran.
Saya mula menyedari perbezaan antara cahaya pagi dengan cahaya petang, perbezaan warna langit sebelum dan selepas hujan, serta bagaimana emosi seseorang dapat tergambar hanya melalui sorot mata Perjalanan sebagai jurugambar kendiri ini tidaklah selalu mudah.
Ada kalanya saya berasa hasil gambar yang diambil tidak cukup baik, walaupun saya berusaha sebaik mungkin.
Ada juga masa saya berasa kecewa apabila melihat jurugambar lain menghasilkan karya yang jauh lebih hebat.
Namun, perasaan itu tidak mematahkan semangat, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus belajar dan mencuba teknik baharu.
Selain itu, saya turut mendalami asas komposisi seperti peraturan pertiga (rule of thirds), garis panduan (leading lines) dan keseimbangan simetri.
Saya juga mula memahami bagaimana penggunaan lensa yang berbeza boleh memberi impak yang besar pada hasil akhir, daripada lensa sudut lebar untuk landskap hingga lensa telefoto untuk potret jarak jauh.
Apabila sudah memiliki Sony A7 II, dunia fotografi saya berubah.
Saya mula belajar mengawal tetapan manual seperti ISO, kelajuan pengatup (shutter speed) dan apertur.
Kawalan ini memberi saya kebebasan untuk menghasilkan imej mengikut visi saya, bukannya bergantung sepenuhnya pada automasi kamera.
Saya juga mula mengambil tempahan kecil-kecilan untuk fotografi produk, acara keluarga atau korporat dan potret peribadi.
Setiap tugasan memberi saya pengalaman berharga, bukan sahaja dari segi teknikal tetapi juga dari segi bagaimana berinteraksi dengan pelanggan dan memahami kehendak mereka.
Pengalaman ini mengajar saya bahawa jurugambar bukan sekadar mengambil gambar tetapi juga menjadi pendengar, pemerhati dan pencerita.
Setiap orang yang saya rakam mempunyai kisah tersendiri dan tugas saya ialah memastikan kisah itu sampai kepada penonton melalui visual yang saya hasilkan.
Kini, setiap kali saya melihat kembali gambar lama yang diambil dengan iPhone 11, saya tersenyum.
Hal itu mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan bermula daripada langkah kecil.
Tanpa permulaan yang sederhana itu, saya mungkin tidak berada pada tahap ini hari ini.
Saya percaya perjalanan ini masih jauh.
Banyak lagi teknik yang ingin saya pelajari, tempat yang ingin saya lawati dan momen yang ingin saya rakam.



