MENULIS sajak bukanlah sekadar menyusun kata-kata indah dalam beberapa rangkap.
Sajak lahir daripada pertemuan antara pemikiran, perasaan, pengalaman, imaginasi dan kehalusan bahasa.
Seseorang yang ingin menulis sajak perlu memahami bahawa setiap kata yang dipilih mempunyai peranan dan sumbangannya tersendiri.
Kata-kata berfungsi untuk menyampaikan makna, sekali gus juga membina suasana, mencetuskan bayangan, menggerakkan emosi dan meninggalkan kesan dalam jiwa para pembaca.
Dalam proses menghasilkan sesebuah sajak, terdapat beberapa langkah asas yang boleh dijadikan panduan.
Menentukan tema yang ingin disampaikan
Langkah pertama ialah menentukan tema, iaitu persoalan pokok atau dasar yang ingin dibicarakan dalam puisi.
Tema menjadi arah dan landasan kepada penyair agar sajak tidak kehilangan tujuan.
Tema boleh bersumberkan pengalaman hidup, kasih sayang, alam, kemanusiaan, perjuangan, bahasa, bangsa, agama, kemasyarakatan, percintaan atau pelbagai persoalan yang dekat dengan kehidupan manusia.
Apabila tema telah ditentukan, penyair perlu memahami dan menghayati perkara yang ingin disampaikan melalui tema tersebut.
Dengan demikian, proses penulisan akan menjadi lebih terarah kerana penyair mengetahui segaka gagasan dan persoalan yang hendak dibawa kepada para pembaca.
Memilih kata atau diksi
Selepas tema ditentukan, langkah seterusnya ialah memilih kata atau diksi yang tepat.
Dalam sajak, kata-kata tidak boleh dipilih secara sembarangan.
Kata-kata yang digunakan perlu padat, bermakna, sesuai dengan persoalan dan mampu membawa suasana yang dikehendaki.
Penyair perlu menyaring kata-kata yang terlalu biasa, berlebihan atau tidak mempunyai kekuatan makna.
Ada kalanya satu kata yang sederhana mampu membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada beberapa baris ayat yang panjang.
Penyair perlu memastikan setiap kata yang dipilih itu wajar dan sesuai dimasukkan ke dalam sesebuah sajak.
Gguna imaginasi atau daya bayang
Imaginasi merupakan salah satu kekuatan penting dalam penciptaan sajak.
Imaginasi ialah kemampuan penyair untuk melihat, mendengar, merasa dan memikir sesuatu yang bersumberkan pengalaman, alam, suasana dan kehidupan.
Segala-galanya kemudian diolah melalui daya bayang sehingga melahirkan makna yang medalam dan baharu.
Melalui imaginasi, sesuatu yang biasa dapat dijadikan luar biasa.
Laut bukan lagi sekadar laut, tetapi mungkin menjadi lambang perjalanan kehidupan.
Kapal bukan hanya sebuah kenderaan di tengah lautan, tetapi boleh menjadi perlambangan manusia yang sedang mengharungi kehidupan.
Begitu juga bunga, hujan, angin, malam, cahaya dan burung boleh diberikan makna yang lebih luas melalui sentuhan imaginasi.
Susun gaya bahasa
Sajak juga memerlukan gaya bahasa yang sesuai dan menarik.
Antara gaya bahasa yang sering digunakan ialah gaya bahasa kiasan atau majas yang terdiri daripada metafora, personifikasi, hiperbola, dan simile.
Penggunaan gaya bahasa dapat menjadikan sajak lebih hidup, berlapis dan mempunyai ruang tafsiran yang lebih luas.
Metafora, misalnya, membolehkan sesuatu perkara dibandingkan secara tidak langsung dengan perkara lain.
Personifikasi pula memberikan sifat manusia kepada benda, alam atau sesuatu yang tidak bernyawa.
Hiperbola digunakan untuk memberikan penegasan secara berlebih-lebihan, manakala simile membandingkan sesuatu dengan menggunakan kata seperti, bagai, umpama atau laksana.
Walau bagaimanapun, gaya bahasa tidak seharusnya digunakan secara berlebihan hanya untuk menunjukkan keindahan bahasa.
Setiap gaya bahasa perlu hadir dengan tujuan dan menyokong makna sajak.
Keindahan yang tidak membawa pengertian akhirnya hanya menjadi hiasan kata.
Guna unsur bunyi, irama
Selain daripada makna, sajak juga mempunyai muziknya sendiri.
Unsur bunyi, pengulangan kata, ritma dan irama dapat memberikan kelancaran serta keindahan kepada pengucapan sajak.
Kata-kata yang dipilih perlu diperhatikan bunyinya apabila dibaca, sama ada secara perlahan atau lantang.
Kadang-kadang sesebuah kata kelihatan indah apabila ditulis, tetapi kurang berkesan apabila dilafazkan.
Penyair perlu membaca semula puisinya berkali-kali untuk mendengar alunan dan muzik bunyi yang terhasil.
Sajak yang baik dapat difahami melaluifikiran, dan juga mampu dirasai oleh telinga dan hati.
Daripada bahasa biasa kepada bahasa sajak
Selepas menentukan tema, seseorang yang baru belajar menulis sajak boleh memulakan proses dengan menggunakan bahasa biasa atau prosa.
Tuliskan dahulu apa yang ingin disampaikan secara terus dan sederhana.
Setelah itu, barulah teks tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa sajak dengan memberikan sentuhan pada pemilihan kata, kekuatan imaginasi, penggunaan simbol dan susunan gaya bahasa yang lebih menarik.
Sebagai contoh, jika tema kasih sayang yang setia menjadi pilihan, dalam bahasa biasa atau prosa, tulisan tersebut mungkin seperti berikut:
Dalam Kehidupan Ini
Dalam kehidupan ini
ada seorang lelaki
yang mengambil berat tentangmu
meletakkan kepentinganmu
lebih daripada yang lain.
aku rasa bersyukur
kerana menjadi lelaki penuh setia
yang sentiasa menyayangimu.
Untuk menjadikannya sajak ini lebih puitis dan menarik serta tidak terlalu prosaik, penyair boleh menggunakan imaginasi dan perlambangan.
Misalnya, kasih sayang dan kesetiaan diterjemahkan melalui citra sebuah pelayaran dan seorang kelasi seperti berikut:
Di Haluan Kapal
Dalam pelayaran ini
telah menjelma seorang kelasi
yang sentiasa menjagamu
dengan sepenuh kalbu,
menempatkanmu di haluan kapal
mendahului segala lain yang dikenal.
kukembangkan layar syukur abadi
kerana teguh dan bersungguh di sini
menjadi pelaut yang gigih mengasihi.
Melalui perubahan tersebut, makna asal masih dipertahankan, tetapi cara pengucapannya menjadi lebih berlapis.
Kehidupan dikiaskan sebagai pelayaran, lelaki yang setia menjadi kelasi atau pelaut, manakala orang yang disayangi ditempatkan di haluan kapal sebagai perlambangan seseorang yang diutamakan dalam kehidupan.
Di sinilah imaginasi dan gaya bahasa sajak memainkan peranannya.
Beban yang mengiringi sebuah sajak
Ternyata kerja menulis sajak bukannya mudah dan main-main.
Ada beban yang muncul bersamanya.
Sajak bukan bermula daripada kekosongan dan berhenti di penghujung tanpa pengertian.
Di sebalik setiap sajak terdapat beban tujuan dan pesan yang perlu dibawa.
Penyair ingin menyampaikan sesuatu kepada khalayak berkaitan dengan isu, persoalan, pengalaman atau peristiwa yang difikirkannya penting.
Pesanan sajak merupakan pemikiran atau gagasan penyair, iaitu perutusan yang mengandungi amanat serta pengajaran yang ingin disampaikan kepada pembaca.
Dalam pesanan tersebut terselit nilai dan idea yang menjadi dasar kepada kelahiran sajak.
Walau bagaimanapun, sajak bukanlah sebuah khutbah atau karangan yang hanya bertujuan menyampaikan nasihat.
Pesanan itu perlu disampaikan secara halus melalui pengalaman rasa, perlambangan, imaginasi, gaya bahasa dan keindahan seni.



