KUCHING: Sebanyak lapan kawasan di Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 2 petang hari ini.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), IPD Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 170, diikuti Samarahan dan Kuching yang masing-masing mencatat bacaan 156.
Bintulu pula merekodkan bacaan IPU 155, Sri Aman (154), Samalaju (152), Sarikei (151) dan Miri dengan bacaan 122.
Kesemua kawasan berkenaan berada dalam kategori kuning, yang menunjukkan kualiti udara pada tahap tidak sihat.
Situasi itu turut menunjukkan pertambahan kawasan yang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat berbanding semalam.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar jika kualiti udara bertambah buruk.
Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara melalui APIMS serta mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya bacaan IPU terus meningkat.





