SIBU: Sepanjang tahun ini, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menerima lapan laporan polis melibatkan penipuan urusan perniagaan yang menyasarkan kontraktor dan syarikat pembekal dalam sektor awam, termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Tanah, Jabatan Kerja Raya, dan Jabatan Kesihatan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, semalam memaklumkan bahawa keseluruhan kerugian yang dilaporkan setakat ini berjumlah RM102,935.
Sebagai langkah pencegahan, Zulkipli menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan urusan perniagaan yang dilakukan melalui panggilan telefon atau pesanan ringkas di aplikasi seperti WhatsApp, WeChat dan seumpamanya.
Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang pembayaran tanpa memastikan terlebih dahulu dengan menghubungi pihak jabatan atau syarikat yang terlibat.
Sebarang maklumat atau nasihat lanjut tentang penipuan boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, atau melalui laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP dan @JSJKPDRM.
Orang ramai juga boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang meragukan melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.


