ARTIKEL

TAHAN…Lapan individu positif dadah ditahan dalam operasi di beberapa kampung sekitar Bau semalam.

Lapan Lelaki Positif Dadah Ditahan Dalam Op Tapis Khas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Op Tapis Khas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bau berjaya mengesan lapan lelaki yang didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam operasi di beberapa kampung sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi yang bermula kira-kira 2 petang itu melibatkan pemeriksaan di Kampung Sibuluh, Kampung Daun Singai, Kampung Bobak Singai, Kampung Barieng Singai serta Pejabat BSJND Bau.

Beliau berkata, hasil operasi mendapati dua daripada lapan lelaki berusia 29 dan 30 tahun ditahan kerana memiliki syabu seberat 0.39 gram yang dianggarkan bernilai RM40.

“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, enam lagi lelaki ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, kesemua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 43 tahun serta terdiri daripada buruh kontrak, mekanik dan penganggur.

“Siasatan awal mendapati beberapa daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, manakala selebihnya tidak mempunyai rekod jenayah.

“Berdasarkan pengakuan awal, suspek dipercayai mengambil syabu antara hari operasi dijalankan sehingga tiga hari sebelum ditahan.

“Kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau bagi membantu siasatan, manakala dua suspek yang ditahan kerana memiliki dadah akan dipohon reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU