ARTIKEL

Lapan lelaki positif dadah ditahan di Bau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Seramai lapan lelaki berusia antara 23 hingga 31 tahun ditahan dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Op Waran Tangkap yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Daerah Bau, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi yang berlangsung dari 10.30 pagi hingga 1 tengah hari itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

Menurutnya, operasi tersebut meliputi Kampung Skiat Lama, Kampung Merembeh, Kampung Pangkalan Tebang, Kampung Tringgus dan Pejabat BSJND Bau.

“Daripada lapan suspek yang ditahan, empat daripadanya didapati memiliki masing-masing satu paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki syabu dan ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil ujian saringan awal air kencing pula mendapati kesemua lapan suspek positif dadah dan turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah dan akan terus memperhebat operasi bagi membanteras jenayah tersebut.-TVS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU