NANJING, China: Lapan orang terbunuh dan 17 lagi cedera dalam serangan menggunakan pisau di sebuah sekolah vokasional di Bandar Yixing, Wilayah Jiangsu di timur China pada Sabtu, lapor Xinhua yang memetik pihak berkuasa polis tempatan.
Serangan berlaku kira-kira 6.30 petang di Institut Vokasional Kesenian dan Teknologi Wuxi.
Suspek berusia 21 tahun, yang dikenali dengan nama keluarga Xu, ditahan di tempat kejadian.
Dia mengaku melakukan jenayah itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh biro keselamatan awam Yixing.
Menurut polis, Xu, seorang graduan sekolah terbabit pada tahun ini, kembali ke sekolah tersebut untuk melepaskan kemarahannya.
Dia tidak menerima sijil tamat pengajian kerana gagal dalam peperiksaan, dan tidak berpuas hati dengan bayaran semasa latihan amalinya.
Usaha menyelamat sedang dijalankan, dan polis meneruskan siasatan berhubung kes itu. – BERNAMA-XINHUA



