KUCHING: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) merekodkan seramai 5.7 juta penumpang tahun lalu, melebihi kapasiti asalnya sebanyak lima juta penumpang setahun.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, peningkatan ketara itu menyebabkan keperluan mendesak untuk menaik taraf kemudahan serta meningkatkan tahap keselesaan dan penyampaian perkhidmatan kepada pengguna.

Beliau berkata, sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, pihaknya kerap mengadakan mesyuarat bersama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Kuching bagi membincangkan maklum balas dan aduan orang awam berkaitan kemudahan lapangan terbang.
“Kerajaan Sarawak berhasrat menjadikan LTAK sebagai sebuah lapangan terbang yang lebih lancar dan bersepadu, meskipun berdepan kekangan ruang sedia ada.
“Kita mahu menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebagai sebuah lapangan terbang yang ‘seamless’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di sini, hari ini.
Lee berkata, masih terdapat beberapa aspek lain yang perlu dipertingkatkan, termasuk aduan yang sering diterima berkaitan kemudahan tandas.
“MAHB mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kerja naik taraf dan pengubahsuaian secara berperingkat.
“Usaha ini termasuk menaik taraf papan tanda atau penunjuk arah di lapangan terbang dan sistem paparan elektronik bagi maklumat ketibaan dan pelepasan penerbangan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama katanya, aduan berkaitan suhu panas di kawasan menunggu sebelum menaiki pesawat turut ditangani menerusi pemasangan cermin gelap (tinted) sehingga 75 peratus pada dinding kaca lapangan terbang.
Katanya ia siap dilaksanakan kira-kira dua minggu lalu dan menunjukkan peningkatan dari segi keselesaan.
Selain itu, katanya MAHB turut merancang untuk menyediakan sudut kanak-kanak di Aras 3 LTAK.
Bagaimanapun kata Lee, bagi cadangan penambahbaikan melibatkan penggunaan teknologi pengecaman wajah pasport di kaunter imigresen, cadangan itu akan dikemukakan oleh kementeriannya.
“Kita mahu menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebaik mungkin dan setaraf dengan kemudahan yang terdapat di KLIA, supaya penumpang di sini turut menikmati kemudahan yang sama,” ujarnya.

