MUKAH: Masyarakat perlu berganding bahu dan bertanggungjawab dalam memelihara serta memulihara alam sekitar.
ADUN Tellian Royston Valentine berkata, tanggungjawab tersebut dilaksanakan melalui dua fasa, iaitu mencetuskan kesedaran dan melaksanakan tindakan.
“Pengalaman kebakaran hutan di Bahagian Mukah pada bulan lalu perlu dijadikan panduan dan iltizam untuk kita mencegah kejadian yang sama daripada berulang.
“Pepatah ‘api apabila kecil jadi kawan, apabila besar menjadi lawan’ perlu dijadikan panduan kepada kita semua bagi mencegah kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Komuniti Bagi Peningkatan Kesedaran Larangan Pembakaran Terbuka di bawah Projek Pengurusan Mampan Ekosistem Tanah Gambut di Malaysia (SMPEM) di Dewan UiTM Mukah, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, sebagai wakil rakyat di kawasan ini, Royston menegaskan agar Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memberi tumpuan bagi memastikan komuniti Mukah bebas daripada masalah pembakaran terbuka.

“Saya menyeru kepada semua untuk menjadi mata dan telinga kerajaan sekiranya berlaku pembakaran terbuka yang diadakan di kawasan masing-masing.
“Laporkan segera sekiranya berlaku aktiviti tersebut kepada pihak berkuasa kerana mencegah lebih baik daripada merawat.
“Kerjasama daripada semua pihak amat penting bagi memastikan Mukah bebas daripada pembakaran terbuka dan jerebu,” jelasnya.

Menyentuh mengenai tersebut, ia merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak dengan Pejabat Residen Bahagian Mukah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah dan Sarawak Energy Berhad serta pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
Dalam pada itu, Royston turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar khususnya di peringkat negeri Sarawak.

