Larangan menggunakan kemudahan awam berpunca dari tindakan PH sendiri

KUCHING: Arahan kerajaan Sarawak tidak membenarkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menggunakan kemudahan awam negeri adalah berpunca dari tindakan PH sendiri.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim, PH terlebih dahulu melakukan serangan dan provokasi ke atas Gabungan Parti Sarawak (GPS), antaranya melarang wakil rakyat GPS melawat sekolah di negeri ini.

“Bukan GPS yang tidak matang tetapi PH khususnya pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang sangat tidak matang dan kebudak-budakan.

“Perkara ini berlaku bukan kerana kami yang mulakan dahulu tetapi mereka (PH),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Senator Alan Ling, yang menyifatkan tindakan GPS menghalang wakil rakyat PH menggunakan kemudahan awam untuk majlis dan aktiviti melibatkan rakyat sebagai tidak matang, seolah-olah mahu menghalang mereka mendekati rakyat.

Ahmad yang juga Exco Saberkas Sarawak berkata adalah tidak wajar Alan menyatakan demikian, di mana beliau sepatutnya menyemak fakta terlebih dahulu.

Katanya kerajaan Sarawak yang diterajui GPS sebelum ini telah menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama baik dengan kerajaan PH tetapi perkara sebaliknya berlaku.

Jelasnya selain menghalang wakil rakyat GPS melawat sekolah, kerajaan PH juga telah mengabaikan masalah sekolah daif di Sarawak, menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) dan banyak lagi.

Ahmad berkata lebih menyedihkan lagi apabila segala perkara tidak baik yang dilakukan kerajaan PH ke atas rakyat Sarawak disokong oleh pemimpin PH Sarawak.

“Pemimpin PH terutama dari DAP harus sedar diri, malah sesetengah dari mereka walaupun bukan ADUN, Ahli Parlimen atau memegang jawatan penting telah pergi ke sekolah dan bercakap tidak masuk akal,” katanya.

Suara Sarawak