SADONG JAYA: Program Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 tidak hanya dilihat sebagai aktiviti riadah menjurus kepada amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Sebaliknya, program sukan seumpama itu berpotensi menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat sejagat selain berupaya menjadi produk pelancongan domestik khususnya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Sadong Jaya.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir Aidel Lariwoo menegaskan perkara itu sambil mengambil kira program terbabit yang berjaya menghimpunkan 1,100 peserta dari seluruh Sarawak.

Sekali gus, pada masa yang sama dapat memberi peluang kepada masyarakat luar melihat keindahan tempat menarik terutama kawasan perkampungan nelayan di kawasan ini (DUN N.24 Sadong Jaya).
“Kita melihat sambutan yang amat memberangsangkan terhadap penganjuran edisi kedua program larian ini.
“Saya percaya ia bukan sahaja berpotensi menjadi tarikan kepada pengunjung dari luar kawasan, malah penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat,” ujar beliau kepada Arena Suara Sarawak ketika mengulas mengenai pengelolaan program berkenaan.
Katanya, laluan jalan pesisir yang digunakan untuk program berkenaan menyajikan satu pemandangan yang indah.

Justeru, pasti suasana berkenaan mencetus keterujaan dalam kalangan peserta untuk menikmati keindahan alam semula jadi sedia ada.
Terdahulu, Datuk Ir Aidil yang juga ADUN N.24 Sadong Jaya turut diberi penghormatan untuk merasmikan larian terbabit pagi tadi.
Hadir sama Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zainuddin Bidin dan ketua-ketua masyarakat setempat.
Program Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 dianjur oleh Saberkas Cawangan Sadong Jaya dengan kerjasama PBB N.24 Sadong Jaya.
Himpunan peserta terbabit yang mencakupi 807 orang terdiri daripada komuniti Daerah Kecil Sadong Jaya dan pelajar sekolah.
Manakala, 293 orang peserta lagi dari kawasan seluruh Sarawak.
Tiga kategori dipertandingkan iaitu 10 km (Lelaki & Wanita), 5 km (Lelaki & Wanita) dan 3 km (Lelaki & Wanita).



